Perdarahan dari ulser dalam perut atau duodenum adalah satu kecemasan perubatan yang lazim dan serius. Ulser tersebut biasanya disebabkan oleh ubat anti-radang atau jangkitan kronik perut oleh bakteria yang dipanggil Helicobacter pylori. Perdarahan dari ulser tersebut biasanya muncul sebagai muntah darah atau pengeluaran najis hitam seperti tar. Rawatan dengan perencat pam proton (PPI - ubat-ubatan yang mengurangkan amaun asid dalam perut dan duodenum, sekali gus menstabilkan bekuan darah yang menghentikan perdarahan), telah terbukti sebelum ini bermanfaat bagi pesakit-pesakit ini. Namun, dos yang terbaik dan kaedah pemberian (oral atau intravena) PPI dalam situasi ini adalah kontroversial.
Dengan mengulas secara sistematik penyelidikan sedia ada, kami mendapati dos dan kaedah pemberian terbaik PPI belum dapat ditentukan. Keputusan kami menunjukkan bahawa, berkaitan dengan kematian, episod perdarahan semula, pembedahan kecemasan dan keperluan untuk rawatan endoskopi ulangan, adalah tidak pasti jika dos intravena PPI yang tinggi adalah lebih, kurang atau sama berkesan berbanding dos PPI yang rendah (oral atau intravena).
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.