Antidepresan untuk rawatan kanak-kanak dan remaja yang mempunyai gangguan sakit perut berfungsi

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada antidepresan boleh memperbaiki gejala gangguan sakit perut berfungsi (FAPDs) di kalangan kanak-kanak dan remaja. Kami mengumpul dan menganalisis data daripada tiga kajian yang melibatkan 223 kanak-kanak dan remaja untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama

Persoalan sama ada antidepresan dapat memperbaiki gejala pada kanak-kanak dan remaja dengan FAPDs masih belum terjawab. Tiada kesan sampingan yang serius apabila dibandingkan dengan plasebo. Bilangan kajian adalah sedikit, dan jumlah orang juga adalah sedikit, bermakna lebih banyak kajian diperlukan untuk menjawab persoalan tersebut.

Apakah yang dikaji di dalam ulasan ini?

FAPDs adalah perkara biasa di kalangan kanak-kanak dan remaja. Dalam kebanyakan kes, tidak ada sebab perubatan untuk kesakitan tersebut. Terdapat pelbagai rawatan ubat-ubatan untuk pelbagai jenis FAPDs. Antidepresan terbukti berkesan dalam beberapa kajian di kalangan orang dewasa dengan FAPDs. Akibatnya, kanak-kanak dan remaja dengan aduan yang serupa juga kadang-kala dirawat dengan antidepresan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami membuat carian untuk kajian rawak terkawal (RCT; kajian klinikal dimana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) membandingkan antidepresan dengan plasebo.

Kami mendapati tiga kajian layak untuk disertakan: dua menggunakan amitriptyline (AMI) dan satu menggunakan citalopram, yang melibatkan sejumlah 223 orang muda.

1. Tidak dapat dipastikan sama ada terdapat perbezaan pada bilangan orang yang mempunyai rawatan yang berjaya ketika menggunakan antidepresan berbanding dengan plasebo.

2. Tidak dapat dipastikan sama ada terdapat perbezaan pada bilangan orang yang menarik diri daripada rawatan disebabkan kesan sampingan ketika menggunakan antidepresan berbanding dengan plasebo.

Kesimpulan

Kita tidak dapat pastikan sama ada antidepresan dapat memperbaiki gejala FAPDs di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ini adalah kerana kajian-kajian tersebut mempunyai bilangan peserta yang sangat sedikit dan kajian tidak dijalankan dengan menggunakan kaedah yang dipercayai. Dengan bukti yang dikemukakan dalam kajian-kajian ini, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh mengenai keberkesanan antidepresan untuk masalah ini; kajian yang dirancang dengan lebih baik dengan lebih ramai peserta adalah diperlukan.

Sejauh manakah ulasan ini dikemaskinikan?

Ulasan ini adalah terkini sehingga Februari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Fatimah Kader Maideen (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information