Apakah isunya?
Serviks adalah saluran seperti leher yang sempit di hujung bawah rahim yang masuk ke dalam vagina. Serviks wanita adalah kukuh dan tidak mengembang pada awal kehamilan, tetapi secara perlahan-lahan menjadi lembut, sepanjang kehamilan. Pembukaan progresif, atau dilatasi, pada serviks berlaku dengan pengecutan rahim semasa bersalin. Dilatasi mekanikal serviks pada pembedahan caesar, sebelum permulaan kelahiran, adalah pembukaan serviks buatan. Ia dilakukan oleh pakar bedah, menggunakan sarung tangan berjari, forsep berspan, atau alat bedah lain.
Mengapakah hal ini penting?
Sebilangan pakar obstetrik percaya bahawa mendilasikan serviks membantu penyaliran darah dari rahim, setelah kelahiran melalui pembedahan caesar sebelum permulaan kelahiran. Penyaliran yang meningkat boleh mengurangkan risiko jangkitan pada intrauterin dan pendarahan selepas bersalin. Sebaliknya, membuka serviks secara mekanikal boleh mengakibatkan pencemaran pada rahim dengan mikroorganisma vagina, dan meningkatkan risiko jangkitan atau trauma serviks. Kami bertekad untuk menentukan kesan dilatasi mekanikal serviks semasa pembedahan caesar yang dirancang sebelum bermulanya proses bersalin pada kehilangan darah selepas pembedahan dan jangkitan rahim, jika dibandingkan dengan tidak ada dilatasi mekanikal.
Apakah bukti yang telah kami temui?
Kami mencari bukti dari kajian rawak terkawal pada September 2017. Kami mengenal pasti lapan kajian dengan sejumlah 2227 wanita menjalani pembedahan caesar elektif (dirancang) sebelum bermulanya bersalin. Daripada wanita-wanita ini, 1097 menjalani dilatasi serviks dengan jari telunjuk bersarung getah dua lapis, atau dalam satu kajian dengan dilator Hegar, semasa pembedahan, sementara 1130 tidak mengalami dilatasi serviks semasa pembedahan.
Bukti berkualiti rendah atau sangat rendah menunjukkan bahawa adalah tidak jelas sama ada dilatasi serviks mempunyai kesan terhadap pendarahan postpartum (anggaran kehilangan darah lebih besar daripada 1000 mL), keperluan untuk pemindahan darah, dan ukuran kehilangan darah yang lain, pendarahan postpartum dalam tempoh enam minggu, morbiditi demam (jangkitan ditunjukkan oleh peningkatan suhu dalam jangka masa yang ditentukan), endometritis (jangkitan pada lapisan rahim), atau subinvolusi rahim (rahim tidak kembali ke ukuran normalnya selepas melahirkan). Tidak ada data untuk trauma serviks.
Kami mendapati sedikit peningkatan dengan dilatasi mekanikal untuk beberapa hasil yang tidak dinyatakan dalam protokol asal kami, tetapi bukti untuk hasil ini berdasarkan pada satu atau dua kajian (purata kehilangan darah, ketebalan rongga endometrium, produk konsepsi yang dipertahankan, herotan sorotan rahim, dan nisbah penyembuhan). Dilasi serviks tidak memberi kesan yang jelas pada hasil sekunder yang lain, (sekali lagi tidak dinyatakan dalam protokol asal kami): jangkitan luka, jangkitan saluran kencing, masa pembedahan, morbiditi berjangkit, dan integriti parut rahim.
Apakah maksudnya?
Adalah tidak dapat dipastikan sama ada dilatasi serviks mempunyai sebarang impak pada mengurangkan masalah selepas pembedahan caesar. Ini bererti tidak ada bukti yang cukup untuk mendorong atau mencegah penggunaan dilatasi mekanikal serviks pada pembedahan caesar elektif untuk mengurangkan masalah kesihatan selepas pembedahan.
Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek, Pelajar Pascasiswazah (IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.