Aspirin dengan atau tanpa ubat antiemetik untuk sakit kepala migrain akut dalam kalangan orang dewasa

Ini adalah versi terkini ulasan Cochrane asal yang telah diterbitkan dalam Isu 4, 2010 (Kirthi 2010); tiada kajian baru telah dijumpai. Satu dos oral 1000 mg aspirin mengurangkan kesakitan dari tahap sederhana atau teruk kepada tiada sakit dalam tempoh dua jam bagi 1 dalam 4 orang (24%) yang mengambil aspirin, berbanding dengan 1 dalam 10 (11%) yang mengambil plasebo. Sakit berkurang dari tahap sederhana atau teruk kepada tidak melebihi kesakitan yang ringan setelah dua jam dalam lebih kurang 1 dalam 2 orang (52%) yang mengambil aspirin berbanding dengan anggaran 1 dalam 3 (32%) yang mengambil plasebo. Bagi mereka yang mengalami kelegaan sakit kepala yang berkesan selepas 2 jam, lebih ramai yang kekal lega lebih 24 jam dengan aspirin berbanding dengan plasebo. Penambahan 10 mg ubat antiemetik metoclopramide menambahkan kelegaan yang ketara untuk loya dan muntah berbanding dengan aspirin sahaja, tetapi hanya sedikit perbezaan untuk sakit.

100 mg sumatriptan oral lebih baik dari aspirin dicampur metoclopramide bagi respon bebas sakit pada 2 jam, tetapi selain itu tidak terdapat perbezaan besar di antara aspirin bersama ataupun tanpa metoclopramide dan sumatriptan 50 mg atau 100 mg . Kebanyakan kesan-kesan yang tidak diingini dengan penggunaan jangka pendek adalah berbentuk ringan dan sementara, berlaku lebih kerap dengan aspirin berbanding plasebo, dan lebih kerap dengan 100 mg sumatriptan berbanding dengan aspirin.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information