Sakit kepala kluster adalah sakit kepala dengan intensiti yang melampau. Mereka boleh berlaku selama beberapa jam, biasanya pada satu sisi kepala sahaja, dan menyerang lelaki lebih daripada wanita. Sakit kepala boleh berlaku berkali-kali dalam beberapa hari. Kelegaan kesakitan yang cepat adalah penting kerana kesakitan bagi sakit kepala kluster adalah keterlaluan.
Triptans adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat migrain. Walaupun migrain berbeza daripada sakit kepala kluster, ada sebab untuk mempercayai bahawa beberapa bentuk ubat-ubatan ini berguna untuk sakit kepala kluster. Triptans boleh diberikan melalui suntikan di bawah kulit (subkutanus) atau dengan semburan ke hidung (intranasal) untuk meredakan kesakitan pesakit.
Sorotan mendapati enam kajian mengkaji dua triptan yang berbeza. Bilangan orang yang terlibat dalam kajian adalah terhad. Dalam masa 15 minit menggunakan sumatriptan subkutanus 6 mg, hampir 8 dalam 10 peserta sakit ringan, dan 5 dalam 10 hilang sakit. Dalam masa 15 minit menggunakan intranasal zolmitriptan 5 mg, kira-kira 3 dalam 10 peserta sakit ringan, dan 1 dalam 10 hilang sakit. Kesan sampingan adalah lebih kerap dengan triptan daripada dengan plasebo tetapi ia secara umumnya adalah ringan hingga sederhana.
Sakit kepala kluster adalah satu perkara yang mengerikan. Lebih banyak penyelidikan tentang bagaimana untuk melegakan kesakitan dengan lebih baik, dan kepada lebih ramai pesakit, dialu-alukan.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my