Soalan ulasan
Apakah kesan intervensi pemakanan atau intervensi aktiviti fizikal , atau kedua-duanya, berdasarkan tahap perubahan (SOC) model transteoretikal (TTM) untuk menghasilkan penurunan berat badan yang berterusan (satu tahun dan lebih lama) dalam dewasa yang berlebihan berat badan dan obes?
Latar belakang
Secara amnya, program penurunan berat badan cenderung melibatkan intervensi pemakanan dan aktiviti fizikal. TTM menerangkan satu siri lima SOC yang dilalui oleh individu apabila berubah daripada tingkah laku yang tidak sihat kepada yang sihat. Dalam ulasan ini, kami menilai penggunaan SOC TTM dalam program pengurusan berat badan untuk dewasa yang berlebihan berat badan dan obes terutamanya dari segi kesan terhadap penurunan berat badan, tabiat pemakanan, aktiviti fizikal dan perubahan tingkah laku.
Obesiti (indeks jisim badan sekurang-kurangnya 30 kg/m²) dan berat badan berlebihan (indeks jisim badan 25 hingga kurang daripada 30 kg/m²) semakin diiktiraf sebagai isu kesihatan awam penting . Bersama-sama, mereka menyumbang kepada masalah kesihatan yang serius dan kos ekonomi yang meluas di seluruh dunia. Indeks jisim badan (BMI) ialah ukuran lemak badan dan ditakrifkan sebagai berat individu dalam kilogram dibahagikan dengan kuasa dua ketinggian dalam meter (kg/m²). BMI harus dianggap sebagai panduan kasar sahaja kerana ia digunakan terutamanya untuk keseluruhan populasi dan mungkin tidak sepadan dengan tahap kegemukan yang sama pada individu berbeza (seperti untuk atlet dan individu yang tidak aktif secara fizikal).
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan tiga kajian dalam ulasan sistematik kami. Secara keseluruhan kajian menilai 2971 peserta, dengan 1467 peserta diperuntukkan kepada kumpulan intervensi dan 1504 kepada kumpulan kawalan. Kajian itu mempunyai tempoh intervensi selama 9, 12 dan 24 bulan.
Ringkasan bahasa yang mudah ini adalah terkini sehingga Disember 2013.
Keputusan utama
Penggunaan TTM SOC dalam kombinasi dengan pemakanan atau aktiviti fizikal , atau kedua-duanya, dan intervensi lain dalam kajian yang disertakan memberikan bukti tidak konklusif tentang kesan intervensi tersebut terhadap penurunan berat badan yang berterusan (perbezaan min yang memihak kepada TTM SOC ialah antara 2.1 kg dan 0.2 kg pada 24 bulan). Walau bagaimanapun, kesan positif yang lain telah diperhatikan, seperti perubahan dalam aktiviti fizikal dan tabiat pemakanan seperti peningkatan tempoh dan kekerapan senaman, pengurangan pengambilan lemak dan peningkatan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran. Kajian tidak melaporkan hasil penting yang lain seperti kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, penyakit (morbiditi) dan kos ekonomi.
Kualiti bukti
Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah. Batasan utama termasuk pelaporan hasil yang tidak lengkap, kelemahan metodologi, penggunaan langkah-langkah yang dilaporkan sendiri secara meluas dan penilaian kemampanan yang tidak mencukupi disebabkan oleh kekurangan penilaian jangka panjang.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).