Rawatan kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dengan kortikosteroid digunakan ke dalam telinga tengah

Apakah kehilangan pendengaran secara tiba-tiba?

Kehilangan pendengaran secara tiba-tiba adalah keadaan yang dicirikan oleh permulaan mendadak (biasanya dalam masa 72 jam) pendengaran berkurangan atau hilang.

Bagaimana ia dirawat?

Orang ramai sering menggunakan kortikosteroid – sejenis ubat anti-radang - untuk merawat keadaan. Ubat-ubatan ini biasanya diambil melalui mulut atau disuntik ke dalam badan (dikenali sebagai kortikosteroid sistemik), tetapi juga boleh diberikan sebagai suntikan terus ke telinga tengah, melalui gegendang telinga (dikenali sebagai kortikosteroid intratimpani).

Apa yang kami ingin ketahui?

Adalah tidak jelas sama ada rawatan intratimpani dengan kortikosteroid berkesan, atau yang mana antara rawatan ini (intratimpani atau sistemik) adalah yang terbaik untuk merawat keadaan ini.

Apa yang kami buat?

Kami mencari semua kajian yang berkaitan dalam penulisan perubatan, membandingkan keputusannya dan merumuskan bukti. Kami juga menilai seberapa pasti bukti itu, dengan mempertimbangkan faktor-faktor seperti saiz kajian dan cara kajian dijalankan. Berdasarkan penilaian, kami membahagikan bukti sebagai kepastian yang sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apa yang kami dapati?

Kami mendapati 30 kajian melibatkan 2133 orang. Kajian ini membandingkan rawatan intratimpani dengan kortikosteroid tanpa rawatan, dengan plasebo (rawatan palsu atau tiruan) dan dengan kortikosteroid yang diambil melalui mulut atau suntikan ke dalam badan (kortikosteroid sistemik). Kami mengambil kira sama ada orang menjalani rawatan pertama mereka untuk pekak secara tiba-tiba atau sama ada mereka sebelum ini mempunyai jenis rawatan lain (yang tidak berkesan).

Bagi orang yang mendapat rawatan pertama mereka untuk pekak secara tiba-tiba

Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan kortikosteroid intratimpani dengan tiada rawatan atau rawatan plasebo (tiruan).

Kortikosteroid intratimpani mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam pendengaran jika dibandingkan dengan orang yang menerima kortikosteroid sistemik, dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang pendengarannya bertambah baik. Kesan sampingan mungkin berbeza dengan kedua-dua jenis rawatan ini. Dengan rawatan intratimpani, orang mungkin mengalami peningkatan dalam risiko pening atau sakit telinga berbanding dengan kortikosteroid sistemik, biasanya pada masa suntikan, dan sesetengahnya mungkin mengalami lubang kecil di gegendang telinga. Walau bagaimanapun, rawatan sistemik juga boleh menyebabkan peningkatan risiko kesan sampingan yang berbeza, seperti masalah dengan paras gula dalam darah.

Mengambil kortikosteroid intratimpani serta kortikosteroid sistemik mungkin menghasilkan peningkatan kecil dalam pendengaran berbanding dengan kortikosteroid sistemik sahaja, tetapi tidak pasti berapa ramai orang akan melihat peningkatan. Seperti di atas, rawatan intratimpani mungkin menyebabkan beberapa kesan sampingan, tetapi kami tidak dapat memastikan bilangan orang yang mungkin mengalaminya.

Bagi orang yang mempunyai rawatan tambahan untuk pekak secara tiba-tiba (apabila rawatan pertama mereka tidak berkesan)

Jika dibandingkan dengan tiada rawatan atau rawatan plasebo (tiruan), kortikosteroid intratimpani boleh menyebabkan lebih ramai orang yang mengalami penambahbaikan dalam pendengaran mereka tetapi mungkin hanya meningkatkan sedikit pendengaran. Seperti rawatan pertama, suntikan intratimpani mungkin menyebabkan beberapa kesan sampingan, seperti sakit atau pening semasa suntikan, atau pembentukan lubang kecil di gegendang telinga. Kami tidak pasti berapa kerap kesan sampingan ini akan berlaku.

Kami sangat tidak pasti sama ada menambah rawatan intratimpani kepada rawatan sistemik akan menghasilkan penambahbaikan dalam pendengaran.

Apakah batasan bukti?

Kami menganggap kebanyakan bukti yang kami dapati mempunyai kepastian yang rendah atau sangat rendah. Ini adalah kerana sering terdapat beberapa masalah dengan cara kajian dijalankan, mungkin sedikit orang yang disertakan dalam kajian dan kadangkala keputusan daripada kajian yang berbeza adalah bercanggah. Oleh itu, kesimpulan ulasan ini mungkin berubah apabila kajian baru diterbitkan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 23 September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information