Mesej utama
- Steroid yang diberikan bersama cyclophosphamide (ubat anti-kanser) tidak mungkin mengurangkan risiko kematian selepas keracunan paraquat dalam jangka pendek, atau pada tiga bulan selepas keluar hospital.
- Kami tidak pasti sama ada ubat ini meningkatkan risiko jangkitan.
- Kajian masa depan perlu lebih besar, mengukur tahap keracunan paraquat pesakit dengan tepat, dan memantau pesakit dalam jangka masa panjang. Penyelidikan ke atas steroid yang digabungkan dengan rawatan lain mungkin berguna.
Apa yang berlaku pada orang yang mengalami keracunan paraquat?
Paraquat digunakan sebagai racun herba, tetapi juga merupakan racun yang mematikan. Kebanyakan orang yang diracuni oleh paraquat telah mengambilnya sebagai cara meracuni diri sendiri.
Rawatan untuk keracunan paraquat tertumpu pada penyingkiran fizikal (melalui pengepaman perut dan kaedah lain) sebanyak mungkin paraquat daripada sistem pencernaan (perut) dan darah seseorang. Mana-mana paraquat yang kekal di dalam badan menyebabkan keradangan yang boleh merosakkan paru-paru dengan teruk dan membawa kepada kematian.
Steroid dan cyclophosphamide (ubat yang biasanya digunakan dalam rawatan kanser) adalah ubat yang melawan keradangan dan juga digunakan untuk merawat keracunan paraquat.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada gabungan steroid dan cyclophosphamide (ditambah penjagaan biasa) berfungsi lebih baik daripada penjagaan biasa sahaja untuk mengurangkan bilangan orang yang mati akibat keracunan paraquat.
Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan dengan steroid ditambah cyclophosphamide menyebabkan peningkatan bilangan jangkitan pada pesakit.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat penggunaan steroid dan cyclophosphamide (ditambah penjagaan biasa) berbanding dengan penjagaan biasa sahaja pada orang yang keracunan dengan paraquat.
Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami dapati?
Kami dapati empat kajian yang melibatkan 463 orang yang disahkan keracunan paraquat. Dua kajian telah dijalankan di Taiwan (Republik China), satu di Iran, dan satu di Sri Lanka.
Semua peserta diberi sama ada:
- penjagaan biasa sahaja, atau
- steroid (methylprednisolone sahaja, atau dengan dexamethasone) ditambah cyclophosphamide, serta penjagaan biasa. Cyclophosphamide diberikan sebelum steroid atau pada masa yang sama.
Dua daripada kajian mengukur keterukan keracunan dengan menguji plasma pesakit (komponen darah) pada permulaan kajian. Ujian plasma memberikan penilaian terbaik tentang betapa seriusnya seseorang itu terjejas oleh keracunan paraquat.
Satu kajian menggunakan rawatan plasebo (sham) sebagai tambahan kepada penjagaan biasa. Dua kajian memberi pesakit steroid (dexamethasone) sebagai sebahagian daripada penjagaan biasa.
Kematian semasa di hospital
Keputusan gabungan dua kajian menunjukkan bahawa steroid ditambah cyclophosphamide (ditambah penjagaan biasa) mungkin sedikit mengurangkan risiko kematian berbanding dengan penjagaan biasa sahaja (dengan, atau tanpa, plasebo) pada orang yang mengalami keracunan paraquat.
Kematian 3 bulan selepas keluar hospital
Satu kajian besar menunjukkan bahawa pada 3 bulan selepas keluar dari hospital mungkin tiada perbezaan dalam bilangan kematian antara orang yang dirawat dengan steroid ditambah cyclophosphamide (ditambah penjagaan biasa) dan mereka yang dirawat dengan penjagaan biasa sahaja.
Jangkitan
Dua kajian kecil memeriksa tahap sel darah putih pada pesakit (paras rendah boleh meningkatkan risiko jangkitan). Tiada kajian melaporkan sebarang jangkitan pada minggu selepas rawatan dengan steroid dan cyclophosphamide. Oleh kerana saiz kajian yang kecil, kami sangat tidak pasti sama ada rawatan itu memberi kesan kepada risiko jangkitan dalam tempoh satu minggu rawatan.
Apakah batasan bukti?
Empat kajian itu berbeza dari segi bilangan orang di dalamnya, penilaian tahap keracunan paraquat, dan jenis rawatan. Ini mengehadkan keupayaan kami untuk membuat kesimpulan yang kukuh daripada bukti.
Keseluruhannya, kajian yang kami dapati adalah terlalu kecil untuk memberikan jawapan kepada soalan kami.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu mengenai subjek ini. Bukti adalah terkini sehingga September 2020.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my