Gabungan anestesia spina-epidura berbanding anestesia spina untuk pembedahan caesarian

Apakah isunya?

Blok saraf regional adalah satu jenis anestetik yang boleh digunakan untuk wanita apabila menjalani pembedahan caesarean. Dua kaedah yang berbeza telah digunakan. Suntikan tunggal spina melibatkan satu suntikan anestetik ke dalam bahagian bawah tulang belakang. Gabungan blok spina dan epidura melibatkan penggunaan jarum yang lebih besar dan pemasukan kateter kecil ke dalam bahagian bawah tulang belakang. Ulasan ini memeriksa manfaat-manfaat dan risiko-risiko secara relatif kedua-dua kaedah blok regional ini untuk wanita yang menjalani pembedahan caesarean dan untuk bayi-bayi mereka.

Mengapakah ini penting?

Suntikan tunggal anestesia spina untuk pembedahan caesarean adalah secara relatifnya mudah dilakukan dan bertindak dengan cepat. Oleh sebab melibatkan satu suntikan, tempoh blok tidak boleh dilanjutkan tanpa wanita tersebut menerima satu lagi suntikan spina. Permulaan blok yang pantas boleh mengakibatkan kesan-kesan buruk, seperti tekanan darah rendah (hipotensi) dan loya dan muntah. Dos anestetik setempat yang lebih rendah boleh mengurangkan peristiwa-peristiwa buruk ini, dan mempercepatkan pengembalian fungsi otot. Dalam ulasan ini, kita melihat pada spina dos tinggi dan dos rendah secara berasingan.

Dengan gabungan anestesia spina-epidura (CSE), pemasukan kateter epidural membolehkan suntikan dos-dos kecil ke dalam tulang belakang dan dos-dos anestetik tambahan dapat diberikan melalui kateter epidura. Anestetik CSE biasanya bertindak dengan lebih perlahan dan boleh mengelakkan beberapa kesan buruk yang dilihat dalam suntikan tunggal anestesia spina. Kebolehan untuk menambah lagi anestesia boleh mengurangkan keperluan untuk anestetik am atau ubat penenang apabila blok saraf regional tidak mencukupi untuk pembedahan. Kateter epidura tersebut boleh juga digunakan untuk memberi ubat sakit selepas pembedahan.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti (8 Ogos 2019) dan mengenal pasti 18 kajian rawak terkawal (1272 wanita) yang membandingkan suntikan tunggal anestetik spina dos tinggi atau dos rendah dengan kaedah CSE. Walau bagaimanapun, kebanyakan analisis kami melibatkan kajian yang sedikit dan bilangan wanita yang kecil secara relatifnya. Dua kajian tidak menyumbang data untuk ulasan kami.

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara CSE dan spina dos tinggi dalam jumlah wanita yang memerlukan anestesia berulang kali atau anestetik am kerana kegagalan untuk mendapatkan anestesia awal yang mencukupi. Kami tidak pasti sama ada CSE atau spina mempunyai apa-apa perbezaan dalam keperluan untuk analgesia tambahan sewaktu operasi atau penukaran kepada anestesia am. Kami juga tidak pasti tentang hasil-hasi kajian bagi bilangan wanita yang berpuas hati dengan anestesia, tanpa mengira jenis blok saraf. Lebih ramai wanita dalam kumpulan CSE (13/21) mengalami rasa loya atau muntah sewaktu operasi yang memerlukan rawatan dibandingkan dengan kumpulan spina dos tinggi (6/21). Bilangan wanita yang sama antara kumpulan yang mengalami sakit kepala selepas tusukan dura (5/56 dengan CSE berbanding 6/57 dengan SSS; 3 kajian, 113 wanita), atau hypotensi sewaktu operasi yang memerlukan rawatan (4 kajian, 162 wanita).

Mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan CSE dan spina dos rendah dalam jumlah wanita yang memerlukan anestesia berulang kali atau anestetik am kerana kegagalan untuk mendapatkan anestesia awal yang mencukupi (3 kajian, 224 wanita). Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam keperluan untuk analgesia tambahan sewaktu operasi (4 kajian, 298 wanita). Kami tidak pasti kesan daripada CSE atau spina dos rendah terhadap keperluan untuk pertukaran sewaktu operasi kepada anestesia am, kerana tiada seorang pun daripada wanita tersebut memerlukannya (3 kajian, 222 wanita). Tiada kajian mengkaji kepuasan wanita dengan penggunaan anestesia. Purata masa untuk anestesia memberi kesan adalah lebih cepat dengan spina dos rendah berbanding CSE, walaupun perbezaan kecil tersebut tidak mungkin mempunyai makna dari segi klinikal (2 kajian, 160 wanita). CSE dilihat dapat mengurangkan hypotensi sewaktu operasi yang memerlukan rawatan berbanding spina dos rendah (4 kajian, 336 wanita). Bilangan wanita yang sama antara kumpulan CSE dan spina dos rendah mengalami rasa loya atau muntah sewaktu operasi yang memerlukan rawatan (3/50 dengan CSE berbanding 6/50 dengan SSS; 1 kajian, 100 wanita). Tidak ada yang sakit kepala selepas tusukan dura (1 kajian, 138 wanita).

Kesemua bayi adalah sihat sewaktu lahir, tanpa mengambil kira anestesia yang digunakan ibu (diukur menggunakan skor Apgar; 5 kajian, 242 bayi).

Apakah maksudnya?

Pada masa ini terdapat bukti yang tidak mencukupi untuk menyokong satu teknik anestetik berbanding yang lain. Bilangan kajian dan jumlah peserta bagi kebanyakan analisis kami adalah kecil, dan beberapa kajian mempunyai pembatasan daripada reka bentuk kajian. Lebih banyak kajian diperlukan bagi menilai dengan lebih lanjut keberkesanan dan keselamatan CSE dan anestesia spina secara relatif untuk pembedahan caesarean.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus, sebelum ini Penang Medical College). Disunting oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi faezah@ms.pmc.edu.my

Tools
Information