Intervensi yang akan meningkatkan dan mengekalkan pengambilan vaksin di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai kesan pelbagai strategi bagi meningkatkan bilangan kanak-kanak di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana yang menerima vaksin untuk mencegah jangkitan penyakit. Para penyelidik di Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 41 kajian yang relevan.

Adakah strategi-strategi untuk memperbaik vaksinasi kanak-kanak berkesan?

Berjuta-juta kanak-kanak di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana masih terkorban akibat penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, sebahagiannya kerana bilangan kanak-kanak yang diberi vaksin dalam keadaan ini masih rendah. Kerajaan dan pihak lain telah mencuba pelbagai strategi untuk meningkatkan bilangan kanak-kanak yang diberi vaksin.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami mengulas semua intervensi yang bertujuan memperbaik pengambilan vaksin oleh kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Ini termasuk intervensi yang menyasarkan penjaga (ibu bapa/penjaga), penyedia penjagaan, komuniti, sistem kesihatan, atau sebarang gabungan tersebut.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis ulasan mendapati 41 kajian yang relevan dari Afghanistan, Cina, Côte d'Ivoire, Ethiopia, Georgia, Ghana, Guatemala, Honduras, India, Indonesia, Kenya, Mali, Mexico, Nepal, Nicaragua, Nigeria, Pakistan, Rwanda dan Zimbabwe. Kajian-kajian tersebut menyertakan 100,747 peserta. Kajian-kajian membandingkan orang yang menerima strategi ini dengan orang yang hanya menerima perkhidmatan penjagaan kesihatan biasa. Kajian-kajian tersebut menunjukkan yang berikut.

- Jangkauan imunisasi sahaja atau gabungan dengan insentif bukan kewangan atau pendidikan kesihatan mungkin memperbaik pengambilan vaksin sepenuhnya dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

- Pendidikan kesihatan boleh menyebabkan lebih ramai kanak-kanak menerima tiga dos vaksin yang mengandungi difteria-tetanus-pertusis (DTP3).

- Penggunaan kad imunisasi yang direka khas boleh memperbaik pengambilan DTP3.

- Menggunakan panggilan telefon atau mesej teks untuk mengingatkan penjaga tentang vaksinasi mungkin mempunyai sedikit kesan atau tiada kesan ke atas memperbaik pengambilan DTP3.

- Penglibatan pemimpin komuniti dalam gabungan intervensi penyedia kesihatan mungkin memperbaik pengambilan DTP3.

- Kami tidak pasti jika latihan penyedia kesihatan mengenai kemahiran komunikasi interpersonal memperbaik pengambilan DTP3.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti untuk intervensi yang dikaji adalah sederhana hingga sangat rendah, membayangkan keputusan penyelidikan lanjut mungkin berbeza daripada keputusan ulasan ini. Sebab utama kurang keyakinan kami terhadap bukti adalah kerana di dalam beberapa kajian orang tidak di rawak ke dalam kumpulan intervensi yang berbeza. Ini bermakna perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh perbezaan antara peserta dan bukannya antara intervensi. Bagi sesetengah intervensi, keputusannya sangat tidak konsisten merentas kajian-kajian yang berbeza dan bagi sesetengahnya hanya ada satu kajian, atau intervensi itu hanya melibatkan segelintir bilangan orang yang dikaji.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Para pengarang ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Julai 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information