Apakah kebaikan dan kemudaratan diuretik yang diberikan sebagai rawatan utama berbanding kelas ubat lain untuk hipertensi (darah tinggi)?

Mesej utama:

- Tiazida dan ubat seperti tiazida (diuretik) mungkin mengurangkan beberapa kesan mudarat kardiovaskular berbanding dengan penghalang beta, penghalang saluran kalsium, perencat ACE, dan penghalang alfa apabila digunakan sebagai ubat pilihan utama untuk rawatan hipertensi.

- Jumlah kematian mungkin tidak berbeza antara diuretik dan kelas ubat lain.

- Diuretik pilihan utama berkemungkinan mengurangkan keseluruhan mudarat kardiovaskular dan kegagalan jantung berbanding penghalang saluran kalsium dan penghalang alfa.

- Diuretik pilihan utama berkemungkinan mengurangkan menarik diri daripada kajian disebabkan oleh kesan yang tidak diingini atau berbahaya (buruk) berbanding penghalang beta, penghalang saluran kalsium, perencat ACE, dan penghalang alfa.

Apakah hipertensi (tekanan darah tinggi)?

Hipertensi didefinisikan dengan menggunakan tekanan darah rehat: ringan (140 hingga 159/90 hingga 99 mmHg), sederhana (160 hingga 179/100 hingga 109 mmHg), dan teruk (180/110 mmHg atau lebih tinggi). Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal boleh menyebabkan strok, serangan jantung, kegagalan jantung, dan kerosakan buah pinggang. Ubat menurunkan tekanan darah telah terbukti dapat mengurangkan kesan buruk ini pada orang yang berumur 60 tahun ke atas dengan peningkatan tekanan darah yang sederhana hingga teruk; ia juga mengurangkan risiko strok pada orang dewasa yang berusia 60 tahun ke bawah dengan hipertensi.

Bagaimana hipertensi dirawat?

Ulasan ini memberi tumpuan kepada kelas ubat menurunkan tekanan darah yang diberikan sebagai rawatan ubat awal apabila perubahan gaya hidup tidak mencukupi. Kelas ubat yang menjadi tumpuan termasuklah diuretik (cth. hydrochlorothiazide, chlorthalidone); penghalang beta (cth. propranolol, atenolol); penghalang saluran kalsium (cth. amlodipine, nifedipine); perencat enzim pengubah angiotensin (ACE) (cth. lisinopril, enalapril); penghalang reseptor angiotensin (cth. candesartan, losartan); penghalang renin (cth. aliskiren); penghalang alfa (cth. doxazosin); dan ubat yang bertindak di saraf pusat (cth. clonidine).

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada faedah dan bahaya diuretik yang diberikan terdahulu untuk hipertensi berbeza daripada kelas ubat lain.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan diuretik pilihan utama dengan kelas ubat darah tinggi yang lain pada penghidap hipertensi. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 20 kajian yang melibatkan lebih 90,000 penghidap hipertensi dan berlangsung selama lima tahun secara purata.

Keputusan utama

Kematian mungkin tidak berbeza antara diuretik dengan kelas ubat lain apabila digunakan dalam tetapan ubat pilihan utama. Diuretik pilihan utama mungkin mengurangkan mudarat kardiovaskular jika dibandingkan dengan penghalang beta. Diuretik pilihan utama mungkin mengurangkan mudarat kardiovaskular dan kegagalan jantung berbanding dengan penghalang saluran kalsium. Diuretik pilihan utama mungkin mengurangkan sedikit risiko strok jika dibandingkan dengan perencat ACE. Diuretik pilihan utama mungkin mengurangkan jumlah mudarat kardiovaskular, strok, dan kegagalan jantung apabila dibandingkan dengan penghalang alfa. Diuretik berkemungkinan mengurangkan menarik diri akibat kesan buruk apabila dibandingkan dengan penghalang beta, penghalang saluran kalsium, perencat ACE dan penghalang alfa. Tiada data yang mencukupi untuk dibandingkan dengan penghalang reseptor angiotensin dan perencat renin.

Apakah batasan utama bukti?

Lebih banyak kajian langsung diperlukan untuk membandingkan tiazida dos rendah dengan penghalang reseptor angiotensin dan perencat renin.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ainur Atiqah Amid. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information