Ulasan tentang cara penjagaan profesional kesihatan boleh memastikan orang tua diberi ubat yang sesuai

Apakah tujuan ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada sebarang pendekatan boleh memperbaik penggunaan ubat-ubatan yang sesuai dalam kalangan orang tua. Para penyelidik mengumpulkan dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan memasukkan 38 kajian dalam ulasan.

Mesej utama

Mengambil ubat-ubatan untuk merawat simptom penyakit kronik dan untuk mengelakkan penyakit menjadi semakin teruk adalah lazim dalam kalangan orang yang lebih tua. Walau bagaimanapun, mengambil terlalu banyak ubat-ubatan boleh menyebabkan kemudaratan. Berikutan analisis kami, kami tidak pasti sama ada intervensi yang dikaji memperbaik penggunaan ubat yang betul. Kami perlukan lebih banyak penyelidikan yang lebih baik untuk mempertimbangkan isu-isu ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Ulasan ini mengkaji kajian-kajian tentang tindakan yang telah diambil oleh profesional penjagaan kesihatan untuk memastikan orang yang lebih tua menerima ubat-ubatan yang paling berkesan dan paling selamat untuk penyakit mereka. Tindakan yang diambil termasuk menyediakan perkhidmatan, yang dikenali sebagai penjagaan farmaseutikal. Ini melibatkan penggalakkan penggunaan ubat yang betul dengan mengenal pasti, mencegah dan menyelesaikan masalah berkaitan ubat. Strategi lain yang kami minati ialah menggunakan sokongan keputusan berkomputer. Ini melibatkan program di komputer doktor yang membantu pemilihan rawatan atau strategi yang sesuai - dan boleh melibatkan profesional penjagaan kesihatan yang berbeza bekerja bersama.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Para penulis ulasan mendapati 38 kajian yang relevan dari 19 negara melibatkan 18,073 orang yang lebih tua. Kajian-kajian ini membandingkan intervensi yang bertujuan untuk memperbaik penggunaan ubat yang sesuai dengan penjagaan yang biasa. Adalah tidak pasti sama ada intervensi-intervensi ini memperbaik penggunaan ubat yang betul. Selepas menganalisis semua kajian, kami tidak dapat membuat kesimpulan intervensi memperbaik kesesuaian ubat (berdasarkan skor yang diberi oleh pertimbangan profesional pakar) atau mengurangkan bilangan ubat yang mungkin tidak sesuai (ubat yang kemudaratannya melebihi manfaat). Kami juga tidak dapat mengatakan sama ada intervensi ini mengurangkan potensi perkadaran pesakit dengan satu atau lebih ubat yang tidak sesuai atau mengurangkan potensi perkadaran pesakit dengan satu atau lebih peninggalan preskripsi (kes di mana ubat yang berguna tidak dipreskrib). Ini adalah kerana kualiti bukti. Walau bagaimanapun, berbanding kemas kini ulasan terdahulu, terdapat lebih banyak kajian yang memfokus kepada potensi peninggalan preskripsi dan lebih banyak kajian yang melibatkan beberapa profesional penjagaan kesihatan yang bekerja bersama. Di samping itu, kami mendapati intervensi ini mungkin membawa sedikit atau tiada perbezaan dalam kemasukan ke hospital atau kualiti hidup.

Apakah batasan bukti?

Kualiti kajian-kajian adalah rendah dan terdapat perbezaan yang ketara dalam populasi pesakit, bagaimana kesesuaian ubat-ubatan diukur dan intervensi yang disampaikan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Para penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Januari 2021.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information