Apakah bukti manfaat daripada antagonis reseptor leukotriena pada kanak-kanak prasekolah yang bersemput apabila mereka selsema?

Latar belakang ulasan

Episod akut besemput dalam kanak-kanak berumur prasekolah adalah perkara biasa. Ramai kanak-kanak dalam kumpulan umur ini kelihatan semput hanya apabila mereka mempunyai virus jenis selsema biasa tanpa gejala berterusan antara episod, tidak seperti kanak-kanak yang lebih tua dengan asma jenis alahan. Episod akut besemputt menyebabkan kanak-kanak bernafas lebih cepat daripada biasa dan mereka mungkin memerlukan rawatan sokongan seperti penggunaan penyedut penyelamat; dalam episod sederhana atau teruk mereka mungkin juga memerlukan kursus pendek steroid oral dan tidak jarang mungkin memerlukan rawatan di hospital dan oksigen tambahan. Penjaga mereka mungkin perlu mengambil cuti kerja untuk menjaga kanak-kanak yang tidak sihat. Walaupun semput episodik dengan virus adalah masalah biasa, terdapat kontroversi tentang cara terbaik untuk mencegah atau memendekkan episod.

Antagonis reseptor leukotriena (LTRAs) adalah ubat yang diambil melalui mulut dan berfungsi dengan mengurangkan keradangan dan tindak balas alahan pada saluran pernafasan.

Matlamat ulasan

Dalam ulasan ini, kami telah menggabungkan bukti daripada kajian berbeza yang membandingkan penggunaan penyelenggaraan (biasa) atau berselang-seli (hanya semasa episod semput dengan virus) LTRA dengan plasebo dalam semput virus episodik pada kanak-kanak prasekolah.

Apakah yang telah kami dapati?

Kami mengenal pasti lima kajian yang layak yang berbeza-beza dalam pilihan hasil mereka dan oleh itu mengehadkan keupayaan kami untuk menggabungkan penemuan antara kajian yang berbeza. Kami gagal menemui sebarang bukti manfaat penyelenggaraan atau rawatan LTRA berselang-seli berbanding plasebo untuk mencegah episod akut bersemput yang memerlukan penggunaan steroid oral penyelamat, dan sedikit bukti manfaat klinikal dalam hasil lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information