Terapi hormon manakah yang lebih berkesan untuk wanita yang mengalami kegagalan awal ovari?

Mesej utama

Kami hanya menemui tiga kajian yang melihat pelbagai terapi hormon dalam tiga konteks berbeza.

Berdasarkan data daripada tiga kajian kecil ini, kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan yang jelas.

Terdapat keperluan untuk kajian yang dijalankan dengan memuaskan dan cukup besar bagi mengkaji terapi hormon yang terbaik untuk wanita yang mengalami kegagalan awal ovari bagi meningkatkan peluang mereka mendapat kehamilan yang sihat.

Apakah kegagalan awal ovari?

Ovari ialah sepasang kelenjar yang bertindak balas, dan menghasilkan hormon, seperti estrogen, progesteron, dan testosteron. Mereka mempunyai peranan penting dalam tulang, jantung, dan kesihatan reproduktif. Kegagalan awal ovari adalah satu keadaan yang menjejaskan kira-kira 1% wanita, menyebabkan mereka tidak mendapat hormon-hormon yang biasanya dihasilkan oleh ovari. Ini kemudiannya meningkatkan risiko patah tulang, penyakit jantung, dan ketidaksuburan. Kegagalan awal ovari mungkin didiagnosis jika haid pertama seorang gadis belum bermula pada usia 16 tahun, atau jika seorang wanita terlepas haid selama lebih daripada enam bulan sebelum umur 40 tahun. Ujian darah juga diperlukan untuk mengesahkan paras abnormal pelbagai hormon, yang berkaitan dengan cara ovari berfungsi.

Bagaimanakah kegagalan awal ovari dirawat?

Secara umumnya, kegagalan awal ovari dirawat dengan terapi hormon, yang meniru apa yang biasanya dihasilkan oleh ovari yang berfungsi secara normal. Matlamat rawatan adalah untuk mengimbangi kesan negatif keadaan ini pada tulang, jantung, dan saluran darah, dan pada kesihatan reproduktif. Rawatan mungkin melibatkan hormon yang berbeza yang diberikan pada dos yang berbeza, sama ada melalui mulut, tampalan kulit, suntikan, atau melalui faraj.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui gabungan terbaik hormon yang membolehkan wanita melahirkan bayi selepas mereka mengalami kegagalan awal ovari. Kami juga ingin mengetahui kesan yang tidak diingini daripada rawatan hormon yang digunakan untuk merawat kegagalan awal ovari.

Apa yang kami buat?

Kami mengikut kaedah standard Cochrane untuk mencari kajian, membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor, seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami mendapati tiga kajian yang merekrut sejumlah 52 wanita dengan kegagalan awal ovari. Kami tidak pasti kesan mana-mana terapi hormon apabila dibandingkan antara satu dengan yang lain.

Apakah batasan bukti?

Batasan utama adalah bilangan kajian yang kecil, yang juga mengandungi bilangan wanita yang sangat kecil bagi setiap kajian (antara 12 hingga 20 orang wanita dalam setiap kajian).

Sejauh mana bukti terkini?

Bukti adalah terkini sehingga September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Salizawati Muhamad Salhimi (Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information