Mengapakah soalan ini penting?
Glaukoma kongenital primer (PCG) adalah penyakit saraf optik yang jarang berlaku. Ia mempengaruhi kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun, dan disebabkan oleh tekanan tinggi dalam mata. Ini berkembang apabila sistem saliran mata tidak berfungsi dengan baik dan cecair terkumpul dalam mata. Peningkatan tekanan dalam mata dapat merosakkan saraf optik, dan menyebabkan kebutaan separa atau bahkan sepenuhnya.
Rawatan yang paling biasa untuk PCG adalah pembedahan. Terdapat pelbagai pendekatan pembedahan yang bertujuan untuk mengurangkan tekanan dalam mata. Sebagai contoh, dalam goniotomi, incisi dibuat untuk membuka sebahagian jalan dalam mata, di mana cecair dapat mengalir sementara trabekulotomi adalah incisi yang dibuat di bahagian luar mata. Teknik ketiga, trabekulektomi, melibatkan penyingkiran beberapa tisu dari mata untuk membuat pembukaan; ini mungkin digabungkan dengan trabekulotomi.
Seperti sebarang rawatan perubatan, setiap pendekatan pembedahan untuk PCG mempunyai potensi manfaat dan risiko. Untuk mengetahui sama ada beberapa prosedur pembedahan lebih bermanfaat, atau menyebabkan lebih banyak kesan yang tidak diingini, daripada yang lain, kami mengulas bukti dari kajian penyelidikan.
Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti
Pertama, kami mencari semua kajian yang relevan dalam literasi perubatan. Kami kemudian membandingkan keputusan-keputusannya, dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kejituan bukti tersebut. Kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan antara kajian-kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengkategorikan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.
Apa yang kami temui
Kami menemui 16 kajian dengan jumlah 446 kanak-kanak dengan PCG. Kanak-kanak diikuti selama enam hingga 80 bulan selepas pembedahan. Sebelas kajian dilakukan di Mesir dan Timur Tengah, tiga di India, dan dua di Amerika Syarikat.
Trabekulektomi ditambah trabekulotomi berbanding trabekulektomi sahaja
Tiga kajian (pada 68 kanak-kanak) yang membandingkan trabekulektomi yang digabungkan dengan trabekulotomi, berbanding trabekulektomi sahaja. Kajian-kajian ini dijalankan dengan kurang baik dan kecil, dan hasilnya tidak konsisten merentasi semua kajian (bukti kepastian yang sangat rendah). Oleh itu, kita tidak dapat mengetahui dari kajian-kajian ini sama ada pendekatan pembedahan adalah lebih berjaya atau menyebabkan lebih sedikit kesan yang tidak diingini.
Viskotrabekulotomi berbanding trabekulotomi konvensional
Dua kajian (pada 39 kanak-kanak) yang membandingkan viskotrabekulotomi (sejenis trabekulotomi yang menggunakan cecair tebal untuk membuat pembukaan dalam sistem saliran mata) dengan trabekulotomi konvensional. Kajian-kajian tersebut dijalankan dengan buruk dan kecil (bukti kepastian yang sangat rendah), jadi kami tidak dapat mengetahui dari kajian-kajian ini pendekatan pembedahan yang lebih berjaya atau menyebabkan lebih sedikit kesan yang tidak diingini.
Trabekulotomi (bantuan mikrokatheter, 360 darjah) berbanding trabekulotomi konvensional
Dua kajian (pada 95 kanak-kanak) yang membandingkan jenis trabekulotomi yang lain (trabekulotomi 360 darjah yang dibantu oleh mikrokatheter) —di mana pembukaan dibuat di sekeliling mata dengan bantuan tiub berongga yang sangat kecil — terhadap trabekulotomi konvensional. Kepastian bukti adalah sederhana, kerana kajiannya dilakukan dengan baik, tetapi kecil. Bukti menunjukkan bahawa trabekulotomi 360 darjah yang dibantu oleh mikrokatheter mungkin mengurangkan tekanan mata sedikit setahun selepas pembedahan. Kanak-kanak yang diberi rawatan ini lebih cenderung mengalami tekanan mata normal (di bawah 21 mmHg) satu tahun selepas pembedahan daripada mereka yang menjalani trabekulotomi konvensional. Walau bagaimanapun, bukti menunjukkan bahawa mereka lebih mungkin juga mengalami hifema, kesan sampingan di mana darah terkumpul di bahagian depan mata, sebahagian atau sepenuhnya menyekat penglihatan.
Prosedur pembedahan lain
Tidak ada satupun kajian daripada sembilan kajian yang menyiasat prosedur pembedahan yang sama. Ini bermaksud bahawa untuk banyak prosedur pembedahan untuk PCG, seperti trabekulektomi sendiri atau goniotomi, terdapat sedikit bukti untuk menentukan sama ada satu kaedah lebih baik atau menyebabkan kesan yang lebih tidak diingini daripada yang lain.
Kesimpulan
Bukti mengenai faedah dan risiko perbandingan prosedur pembedahan yang berbeza untuk PCG adalah terhad. Trabekulotomi 360 darjah yang dibantu oleh mikrokatheter mungkin lebih bermanfaat daripada trabekulotomi standard, tetapi mungkin menyebabkan kesan yang lebih tidak diingini. Kami tidak mengetahui kesan perbandingan prosedur pembedahan lain, kerana tidak ada kajian atau terlalu sedikit kajian yang membandingkannya.
Adakah ulasan ini terkini?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 27 April 2020.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah(USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.