Adakah terdapat risiko lebih tinggi untuk kanser ovari di kalangan wanita yang menerima rawatan untuk separa mandul?

Latar belakang
Ubat-ubatan untuk merangsang ovulasi telah digunakan untuk merawat separa mandul sejak awal 1960-an. Terdapat ketidakpastian mengenai keselamatan ubat-ubatan ini dan kebarangkalian risikonya untuk menyebabkan kanser. Tambahan lagi, ianya telah terbukti kemandulan itu sendiri meningkatkan risiko untuk kanser ovari.

Matlamat ulasan
Kami menyasarkan dengan pengemaskinian ulasan sistematik ini dapat merumuskan penyelidikan terkini yang telah diterbitkan tentang risiko kanser ovari di kalangan wanita separa mandul yang dirawat dengan ubat-ubatan kesuburan berbanding dengan populasi umum dan juga dengan wanita separa mandul yang tidak menerima rawatan kesuburan.

Apakah penemuan utama?
Keseluruhannya, berdasarkan 37 kajian yang melibatkan sejumlah 4,684,724 wanita, kami tidak menemui bukti yang cukup kukuh bagi menunjukkan kebarangkalian risiko yang lebih tinggi untuk kanser ovari di kalangan wanita yang menerima rawatan ubat-ubatan kesuburan.

Analisis kumulatif 12 kajian kes-kawalan dari Amerika Syarikat mendedahkan terdapat peningkatan dalam risiko kanser ovari di kalangan wanita yang menggunakan ubatan kesuburan, dan risiko ini lebih tinggi di kalangan wanita yang tidak pernah melahirkan anak berbanding dengan wanita yang telah melahirkan lebih daripada seorang anak. Satu daripada 37 kajian yang terlibat melaporkan peningkatan dua kali ganda dalam pembentukan tumor sera ovari pinggiran di kalangan wanita selepas lebih daripada empat kitaran progesteron; namun bilangan kes yang termasuk dalam kumpulan ini adalah sangat kecil. Satu kajian kohort juga mencadangkan peningkatan risiko tumor ovari pinggiran di kalangan wanita mandul yang dirawat dengan clomiphene citrate jika dibandingkan dengan wanita mandul yang tidak menerima rawatan untuk hamil.

Kualiti bukti
Kajian yang menunjukkan peningkatan risiko kanser ovari mempunyai kualiti metodologi yang rendah, tempoh susulan yang pendek dan kurang penyelarasan untuk faktor pembauran yang penting; justeru keputusannya sangat tidak boleh dipercayai. Walau bagaimanapun, berbanding dengan kajian terdahulu, kajian semasa cenderung melaporkan kedua-dua dos dan bilangan kitaran ubatan kemandulan serta menyertakan regimen ubatan yang lebih kontemporari; ini telah menjadikan keputusan akhir lebih dipercayai.

Apakah kesimpulannya?
Kemandulan telah didapati sebagai faktor risiko yang penting untuk kanser ovari. Walau bagaimanapun, perkaitan antara ubatan kemandulan dan kanser ovari perlu dilihat dengan mengambil kira faktor-faktor lain seperti usia, indeks jisim tubuh, bilangan anak yang dilahirkan, faktor genetik (contohnya sejarah kanser ovari dalam keluarga), dan etiologi kemandulan, bersama-sama dengan tempoh susulan yang lebih lama.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information