Ubat yang mensasarkan saluran darah pada tumor otak malignan

Latar belakang
Ketumbuhan di bahagian otak paling lazim di kalangan orang dewasa adalah glioma yang merangkumi sekitar dua daripada setiap lima ketumbuhan otak. Glioma merangkumi spektrum dari grad rendah hingga tinggi, dan dinilai secara patologi pada skala satu hingga empat, menurut klasifikasi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang terakhir dikemas kini pada tahun 2016. Glioma grad tinggi, termasuk glioblastoma, adalah sukar dirawat dan membawa prognosis yang buruk.

Tumor-tumor ini menghasilkan protein yang mendorong pembentukan saluran darah baru (angiogenesis) untuk membantu mereka tumbuh. Ubat telah dikembangkan untuk mengurangkan pembentukan saluran darah baru dan memperlambat pertumbuhan tumor. Bevacizumab, cediranib dan cilengitide adalah ubat anti-angiogenik yang secara langsung atau tidak langsung mensasarkan pembentukan saluran darah dan telah dikaji dalam glioblastoma dalam kajian klinikal secara rawak.

Ciri-ciri kajian
Setelah carian menyeluruh hingga Oktober 2018, kami mengenal pasti 11 kajian klinikal rawak yang layak (berjumlah 3743 peserta). Semua kajian yang memenuhi syarat terhad kepada glioblastoma; tidak ada kajian yang memenuhi syarat yang merangkumi jenis tumor otak yang lain. Kajian terbesar dilakukan pada orang yang baru didiagnosis dengan glioblastoma, dirawat dengan terapi anti-angiogenik. Secara keseluruhan, kajian yang disertakan dalam ulasan sistematik ini tidak menunjukkan peningkatan kelangsungan hidup secara keseluruhan dengan penggunaan terapi anti-angiogenik. Secara keseluruhan, kajian klinikal pada glioblastoma yang dirawat dengan bevacizumab memanjangkan masa sehingga pertumbuhan tumor (kelangsungan hidup tanpa perkembangan).

Hasil-hasil utama
Terapi anti-angiogenik tidak memanjangkan jangka hayat secara ketara pada orang yang baru didiagnosis dengan glioblastoma. Walaupun tidak ada bukti memanjangkan usia pada kemoterapi dalam glioblastoma berulang, ketika terapi anti-angiogenik digunakan dalam kombinasi dengan rejimen kemoterapi tertentu mungkin ada peningkatan kecil dalam kelangsungan hidup. Agen anti-angiogenik melambatkan perkembangan tumor pada imbasan magnetik resonans (MRI) tetapi biasanya dikaitkan dengan kesan sampingan, seperti tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information