Simulator realiti maya untuk latihan dalam endoskopi gastrousus

Soalan ulasan

Adakah latihan simulasi realiti maya dapat membantu dan/atau menggantikan latihan awal berasaskan pesakit dalam endoskopi gastrousus?

Latar belakang

Kebiasaannya, pelatih belajar melakukan endoskopi gastrousus (kamera tiub yang digunakan untuk melihat struktur dalam usus atau perut) dalam persekitaran klinikal di bawah pengawasan ahli endoskopi yang terlatih. Simulator komputer realiti maya menggunakan teknologi komputer untuk mencipta imej atau persekitaran tiga dimensi yang membolehkan interaksi berlaku dalam keadaan yang kelihatan nyata atau secara fizikal. Teknik ini semakin popular sebagai suatu kaedah yang memberi peluang kepada pelatih untuk mengamalkan kemahiran mereka dalam persekitaran yang bebas risiko. Walau bagaimanapun, latihan berasaskan simulasi boleh jadi mahal. Oleh yang demikian, adalah penting memastikan kemahiran yang diperolehi menerusi latihan berasaskan simulasi diterjemahkan ke persekitaran klinikal.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 12 Julai 2017.

Ciri-ciri kajian

Pengulas telah memilih 18 kajian dengan 421 peserta dan 3817 prosedur endoskopi. Sepuluh kajian membandingkan latihan realiti maya dengan tanpa latihan; lima kajian membandingkan latihan realiti maya dengan latihan endoskopi berasaskan pesakit; satu kajian membuat perbandingan antara latihan realiti maya dengan latihan simulasi endoskopi dalam bentuk yang lain; dan dua kajian membuat perbandingan antara dua kaedah latihan realiti maya yang berbeza. Sepuluh kajian meneliti kolonoskopi, tiga kajian meneliti sigmoidoskopi dan lima kajian meneliti esofagogastroduodenoskopi. Peserta terdiri daripada pelatih perubatan yang mempunyai latihan endoskopi terhad atau tanpa latihan dalam bidang gastroenterologi, perubatan, perubatan keluarga atau pembedahan am, serta jururawat.

Hasil utama

Berbanding tanpa latihan, latihan realiti maya memberi kelebihan kepada para pelatih apabila dinilai melalui kebolehan untuk menyelesaikan prosedur tanpa bantuan, keseluruhan penilaian prestasi, dan visualisasi kolon atau esofagus. Pengulas tidak menemui bukti konklusif bahawa latihan realiti maya, dibandingkan dengan latihan tradisional berasaskan pesakit atau kaedah lain bagi latihan simulasi endoskopi, memberikan manfaat, walaupun data adalah terhad. Kurikulum simulasi realiti maya sedia ada boleh diperbaikkan dengan mengguna pakai teori pendidikan seperti strategi pembelajaran progresif, dengan pelatih menyelesaikan kes-kes yang bertambah sukar. Hasil ulasan ini menunjukkan bahawa latihan endoskopi realiti maya boleh digunakan bagi membantu latihan endoskopi tradisional awal untuk pelatih dengan pengalaman endoskopi yang terhad atau tanpa sebarang pengalaman.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah lemah berdasarkan potensi berat sebelah yang disebabkan pelaporan metodologi yang lemah dalam kajian serta ketidaktepatan atas dasar peserta dan prosedur endoskopi yang sedikit. Kajian pada masa hadapan mesti mematuhi piawaian kualiti, seperti perawakan yang betul serta penggunaaan metrik yang sah untuk mengukur prestasi endoskopi. Penyelidik juga harus membandingkan keberkesanan kurikulum simulasi yang berbeza yang berdasarkan teori pendidikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fatin Atiqah Nurul Mubin (Universiti Tenaga Nasional). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information