Amitriptyline untuk merawat sakit neuropatik dalam kalangan dewasa

Sakit neuropatik adalah sakit yang berpunca dari kecederan saraf, dan ia boleh mempunyai pelbagai nama. Beberapa nama yang lazim adalah sakit neuropati diabetik, neuralgia lepas herpes, atau sakit selepas strok. Ia adalah berbeza dari mesej sakit yang dibawa oleh saraf sihat dari tisu tercedera (contohnya jatuh, luka atau artritis lutut). Sakit neuropatik dirawat dengan ubat yang berbeza dari ubat yang diguna untuk sakit tisu tercedera. Ubat-ubat seperti parasetamol atau ibuprofen biasanya tidak berkesan untuk sakit neuropatik, manakala ubat yang kadangkala diguna untuk merawat kemurungan atau epilepsi boleh jadi amat berkesan bagi sesetengah orang dengan sakit neuropatik.

Amitriptyline salah satu antidepresan, dan antidepresan disyorkan dengan meluas untuk merawat sakit neuropatik. Amitriptyline biasanya diguna untuk merawat keadaan sakit neuropatik, tetapi ulasan terawal mendapati tiada bukti berkualiti yang menyokong penggunaannya. Kebanyakan kajian adalah kecil, agak lama dan menggunakan kaedah atau melaporkan manfaat yang lebih baik daripada apa-apa yang dikenali.

Pada Mac 2015, kami melakukan carian untuk mencari kajian-kajian baru dalam kalangan dewasa yang mengalami sakit neuropatik dengan sekurang-kurangnya intensiti sederhana. Kami hanya dapat dua kajian kecil tambahan yang tidak memberikan apa-apa bukti berkualiti sama ada manfaat atau mudarat. Keadaan ini amat mengecewakan, namun kami masih dapat membuat komen yang berguna tentang ubat ini.

Amitriptyline mungkin tidak berkesan untuk sakit neuropatik yang dikaitkan dengan virus human immunodeficiency (HIV) atau rawatan kanser. Amitriptyline mugkin berkesan untuk jenis sakit neuropatik lain, walaupun kami juga tidak pasti. Tekaan terbaik yang dibuat adalah amitriptyline boleh melegakan sakit kira-kira 1 dalam 4 (25%) orang lebih berbanding plasebo, dan kira-kira 1 dalam 4 (25%) orang lebih berbanding plasebo melaporkan sekurang-kurangnya satu peristiwa buruk, yang mungkin menyusahkan, tetapi mungkin tidak serius. Kami tidak boleh mempercayai angka-angka berdasarkan maklumat yang sedia ada.

Mesej yang paling penting adalah amitriptyline mungkin dapat melegakan sakit dalam sesetengah orang yang mengalami sakit neuropatik, tetapi hanya segelintir orang sahaja; amitriptyline tidak berkesan bagi kebanyakan orang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Phang Yee Lin (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Phang.YeeLin@student.imu.edu.my.

Tools
Information