Orang yang mempunyai penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) sering mempunyai corak pernafasan yang berubah-ubah dan mengalami sesak nafas, terutama apabila mereka bersenam. Ulasan ini bertujuan untuk menentukan sama ada latihan pernafasan yang direka untuk melatih semula corak pernafasan dapat mengurangkan kesesakan nafas, meningkatkan kapasiti senaman dan meningkatkan kesejahteraan bagi mereka yang mempunyai COPD.
Enam belas kajian disertakan dengan 1233 peserta, yang kebanyakannya mempunyai COPD yang teruk. Teknik pernafasan yang dikaji termasuk pernafasan bibir 'pursed' (bernafas perlahan-lahan dengan bibir dalam posisi bersiul), pernafasan diafragma (pernafasan mendalam yang fokus kepada perut), pernafasan yoga pranayam (pernafasan berjangka dengan fokus kepada pernafasan keluar), mengubah corak pernafasan menggunakan maklum balas komputer untuk melambatkan kadar pernafasan dan meningkatkan masa pernafasan keluar, atau gabungan teknik-teknik tersebut. Kualiti kajian secara amnya adalah rendah. Latihan pernafasan kelihatan selamat untuk orang yang mempunyai COPD. Pernafasan yoga, pernafasan bibir 'pursed' dan pernafasan diafragma meningkatkan jarak berjalan dalam masa enam minit dengan purata 35 hingga 50 meter dalam empat kajian. Kesan latihan pernafasan atas sesak nafas dan kesejahteraan pesakit adalah berbeza-beza. Apabila ditambah kepada latihan senaman seluruh badan, latihan pernafasan tidak kelihatan mempunyai manfaat tambahan.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Lin (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi pllee@ms.pmc.edu.my.