Kortikosteroid sebagai rawatan sendirian atau tambahan untuk sakit tekak

Soalan ulasan

Adakah kortikosteroid bermanfaat bagi orang yang sakit tekak sahaja atau sebagai tambahan kepada rawatan lain?

Latar belakang

Sakit tekak adalah sangat lazim. Walaupun kebanyakan sakit tekak disebabkan oleh virus, kebanyakkan orang dengan sakit tekak menerima antibiotik, yang tidak berkesan dalam rawatan jangkitan virus. Penggunaan antibiotik yang berlebihan menyumbang kepada kurang ketahanan terhadap antibiotik pada individu dan masyarakat. Sakit tekak adalah menyakitkan kerana keradangan pada lapisan pada tekak. Steroid, atau kortikosteroid, adalah ubat yang dapat diambil sebagai tablet atau disuntik. Ia mengurangkan keradangan dan membantu jangkitan saluran udara lain seperti croup. Dos steroid untuk jangka masa pendek mungkin bermanfaat untuk merawat sakit tekak.

Tarikh carian

14 Mei 2019.

Ciri-ciri kajian

Ini adalah pengemaskinian daripada ulasan 2012 kami. Kami menambahkan satu kajian baru (565 peserta) untuk keseluruhan sembilan kajian yang melibatkan 1319 peserta (369 kanak-kanak, 950 orang dewasa). Kajian yang dimasukkan dijalankan di jabatan kecemasan (7 kajian) dan fasiliti penjagaan primer (2 kajian) di AS (5 kajian), dan satu kajian masing-masing di Kanada, Israel, Turki, dan UK. Peserta menerima sama ada satu dos steroid atau satu dos ubat palsu (plasebo) (7 kajian). Lebih daripada satu dos steroid atau plasebo setiap hari berturut-turut diberikan kepada satu kumpulan peserta, sementara kumpulan yang lain menerima satu dos (2 kajian). Dalam lapan kajian, semua peserta juga diberikan antibiotik sebaik sahaja memasuki kajian ini. Semua kajian diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

Sumber dana kajian

Dua kajian menggambarkan sumber pembiayaan (kerajaan dan yayasan universiti).

Keputusan utama

Peserta yang menerima kortikosteroid 2.4 kali lebih berkemungkinan untuk sembuh daripada gejala sakit tekak dalam masa 24 jam berbanding mereka yang menerima plasebo. Kortikosteroid memendekkan masa bagi memperolehi kelegaan dan kelegaan sepenuhnya, walaupun bukti kajian tidak konsisten untuk dapatan ini, dan kesannya sederhana. Kejadian buruk, kadar kambuh / kambuh, dan hari tidak hadir kerja atau sekolah tidak berbeza antara peserta kumpulan kortikosteroid dan plasebo. Sakit tekak adalah sangat lazim pada kanak-kanak, tetapi hanya dua kajian yang melaporkan dapatan untuk kanak-kanak, dan hasil ini tidak konsisten, sehingga sukar untuk membuat kesimpulan. Oleh itu, penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk mengkaji faedah kortikosteroid untuk mengurangkan penggunaan antibiotik pada mereka dengan sakit tekak yang teruk, dan faedah untuk kanak-kanak secara khusus. Batasan ulasan terhad pada dua kajian yang melibatkan kanak-kanak dan kebanyakan kajian memberikan antibiotik kepada semua peserta.

Kualiti bukti

Kami menilai kepastian bukti sebagai tinggi untuk kelegaan kesakitan sepenuhnya pada 24 dan 48 jam, dan sederhana untuk purata masa dari mula hingga kelegaan kesakitan, purata masa untuk kelegaan kesakitan sepenuhnya, pengurangan kesakitan yang diukur dengan skala analog visual, kesan sampingan, kadar berulang / kambuh, dan hari tidak hadir kerja atau sekolah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information