Sasaran tekanan darah bagi orang yang mempunyai diabetes.

Soalan ulasan

Kami membuat ulasan ini untuk mencari dan menilai semua kajian yang direka untuk menilai sama ada sasaran tekanan darah yang lebih rendah adalah lebih baik daripada sasaran tekanan darah standard untuk pesakit diabetes. Kami mendapati dan menganalisis lima kajian.

Latar belakang

Penyakit kardiovaskular adalah satu komplikasi yang kerap berlaku dalam orang yang menghidap diabetes. Hipertensi (tekanan darah tinggi) sering dikesan dalam orang dengan diabetes. Garis panduan klinikal terkini telah mengesyorkan kawalan tekanan darah yang lebih ketat dalam kalangan pesakit diabetes berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai penyakit ini. Untuk orang awam dengan hipertensi, sasaran tekanan darah standard adalah untuk mencapai tekanan darah kurang daripada 140 hingga 160/90-100 mmHg, manakala bagi mereka yang menghidap diabetes, garis panduan telah mengesyorkan pengurangan sasaran ini kepada kurang daripada 130/80 mmHg . Trend ini berdasarkan anggapan bahawa pencapaian tekanan darah yang lebih rendah akan menghasilkan pengurangan yang lebih besar dalam kejadian kardiovaskular.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2013. Kami mendapati dan menganalisis lima kajian rawak yang melibatkan 7134 orang peserta dewasa yang menghidap diabetes jenis 2 dan tekanan darah tinggi, berumur 40-80 tahun, menerima rawatan yang bertujuan untuk menurunkan tekanan darah sehingga standard berbanding dengan sasaran tekanan darah yang lebih rendah dan disusul untuk 2 hingga 5 tahun bagi mengesan perbezaan dalam mortaliti dan kesan buruk. Empat daripada lima kajian dibiayai oleh pengilang ubat yang mempunyai potensi untuk memberi kesan kepada keputusan. Satu kajian telah ditaja oleh 'National Heart, Lung, and Blood Institute (NHLBI)' dari Amerika Syarikat.

Keputusan utama

Satu-satunya manfaat signifikan dalam kumpulan yang diperuntukkan untuk 'menurunkan' tekanan darah sistolik adalah pengurangan kecil dalam insiden strok, tetapi mereka menunjukkan peningkatan yang lebih besar dalam bilangan kesan buruk lain yang serius. Kesan sasaran tekanan darah sistolik adalah serasi dengan pengurangan dan juga peningkatan dalam risiko mortaliti. Tiada manfaat ditunjukkan oleh sasaran tekanan darah diastolik 'yang lebih rendah'.

Bukti daripada kajian rawak sedia ada pada masa ini berkualiti rendah dan tidak menyokong sasaran tekanan darah lebih rendah daripada standard dalam kalangan orang yang mempunyai tekanan darah tinggi dan diabetes. Penyelidikan lanjut mungkin mengubah keputusan ini dan kajian masa depan harus melaporkan hasil yang penting kepada pesakit, seperti mortaliti dan kesan buruk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information