Pemberian surfaktan saluran pernafasan topeng larinks untuk pencegahan morbiditi dan kematian pada bayi pramatang dengan atau berisiko mengalami sindrom gangguan pernafasan

Mesej utama

– Pemberian surfaktan melalui topeng larinks mungkin mengurangkan keperluan untuk pengudaraan mekanikal pada bila-bila masa jika dibandingkan dengan pemberian surfaktan melalui tiub endotrakeal.

– Pemberian surfaktan melalui topeng larinks mungkin mengurangkan keperluan untuk pengudaraan mekanikal pada bila-bila masa berbanding tanpa penggunaan surfaktan.

– Kajian lanjut adalah diperlukan.

Apakah surfaktan?

Surfaktan pulmonari adalah bahan semula jadi yang menghalang kantung udara paru-paru (alveoli) daripada melekat bersama (runtuh) apabila bayi menghembuskan nafas. Surfaktan sering kekurangan dalam paru-paru bayi yang baru lahir dengan sindrom gangguan pernafasan.

Apakah sindrom gangguan pernafasan?

Sindrom gangguan pernafasan adalah gangguan pernafasan yang berlaku terutamanya pada bayi yang dilahirkan sebelum tarikh matang mereka (kehamilan 37 minggu). Ia disebabkan oleh kekurangan surfaktan.

Bagaimanakah gangguan pernafasan dirawat?

Rawatan biasa melibatkan penyediaan sokongan pernafasan dan oksigen, dan pemberian surfaktan buatan terus ke dalam paru-paru bayi yang baru lahir melalui saluran pernafasan (trakea). Ini boleh melalui tiub dalam trakea (dipanggil tiub endotrakeal) untuk bayi yang menggunakan pengudaraan mekanikal atau melalui tiub nipis atau nebuliser (mesin yang mengubah ubat cecair menjadi kabus halus) untuk bayi bernafas sendiri semasa pada sokongan tekanan untuk membuka paru-paru (dipanggil tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP)). Walau bagaimanapun, meletakkan tiub dalam trakea bayi adalah mencabar secara teknikalnya dan pengudaraan mekanikal boleh merosakkan paru-paru. Alternatifnya ialah memasukkan tiub yang dipanggil saluran pernafasan topeng larinks ke dalam saluran pernafasan atas bayi, yang sesuai dengan larinks bayi (tiub pada atas trakea) dan membenarkan sokongan pernafasan dan pemberian surfaktan. Teknik ini dianggap kurang mencabar dari segi teknikal.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada pemberian surfaktan melalui saluran pernafasan topeng larinks berbanding dengan rawatan dummy (plasebo), tiada rawatan atau pemberian surfaktan melalui tiub endotrakeal atau kaedah kurang invasif lain yang diberikan kepada bayi pramatang dengan atau berisiko mengalami sindrom gangguan pernafasan boleh menambah baik kelangsungan hidup. Kami juga ingin mengetahui sama ada ia mengurangkan risiko mengalami keadaan paru-paru kronik yang dipanggil displasia bronkopulmonari (BPD) atau tempoh pengudaraan mekanikal dan hasil lain, seperti sebarang kesan berbahaya.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan pemberian surfaktan melalui topeng larinks dengan tiada rawatan, pemberian surfaktan melalui tiub endotrakeal atau kaedah lain yang kurang invasif pada bayi pramatang dengan atau berisiko mengalami sindrom gangguan pernafasan. Kami membanding dan merumus keputusan kajian yang disertakan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mengenal pasti lapan kajian yang menyiasat terapi ini dalam 510 bayi pramatang. Pemberian surfaktan melalui topeng larinks mungkin mengurangkan keperluan untuk pengudaraan mekanikal pada bila-bila masa jika dibandingkan dengan pemberian surfaktan melalui tiub endotrakeal. Tambahan pula, kami menemui bahawa pemberian surfaktan melalui topeng larinks mungkin mengurangkan keperluan untuk pengudaraan mekanikal pada bila-bila masa berbanding tanpa pemberian surfaktan. Hasil jangka panjang adalah tidak dilaporkan. Tiada kajian membandingkan surfaktan yang diberikan melalui saluran udara topeng larinks dengan surfaktan yang diberikan oleh kateter nipis. Memandangkan keputusan yang menggalakkan daripada kajian ini, kajian berkualiti tinggi bagi pemberian surfaktan saluran pernafasan topeng larinks pada bayi yang sangat pramatang dengan atau berisiko mengalami sindrom gangguan pernafasan adalah wajar.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana ia berdasarkan kes yang agak sedikit dan sedikit kajian.

Sejauh manakan bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 1 Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information