Mengapakah soalan ini penting?
Penumonia berkaitan ventilator (VAP) adalah jangkitan paru-paru. Ia terjadi dalam kalangan pesakit yang mengguna mesin pernafasan tiruan (ventilator) di hospital melebihi dari 48 jam. Selalunya, pesakit dalam keadaan sangat tenat - mereka mungkin mengalami serangan jantung atau strok, kemalangan serius, atau pembedahan major. Mereka mungkin tidak dapat bernafas dengan sendiri kerana tidak sedarkan diri atau dibius semasa menerima rawatan.
Ventilator membekalkan oksigen kepada pesakit melalui tiub yang diletakkan di mulut atau hidung, atau melalui lubang di bahagian leher. Jika kuman masuk melalui tiub dan sampai ke paru-paru pesakit, ini boleh menyebabkan VAP. VAP adalah komplikasi serius dalam kalangan pesakit yang kritikal. Ia boleh menyebabkan kesihatan yang lebih buruk dan meningkatkan risiko kematian.
Menjaga mulut pesakit dengan bersih dan bebas dari penyakit (kebersihan oral) dapat membantu mencegah VAP. Penjagaan kebersihan oral merangkumi:
- ubat kumur;
- gel antiseptik (bahan yang merosakkan mikroorganisme berbahaya di mulut) untuk gusi dan gigi;
- span lembut (swab) atau berus gigi, untuk membersihkan mulut dan gigi; dan
- alat (contohnya tabung penghisap) untuk menyedut lebihan cecair, ubat gigi atau kotoran lain dari mulut.
Ia boleh digunakan sendirian, atau dalam kombinasi.
Untuk mengetahui jika penjagaan kebersihan oral mencegah VAP, dan adakah sesetengah jenis penjagaan kebersihan oral lebih baik daripada yang lain, kami mengkaji bukti dari kajian-kajian penyelidikan.
Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?
Kami mencari kajian-kajian rawak terkawal. Kajian-kajian klinikal ini adalah di mana orang diletakkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan untuk membandingkan rawatan-rawatan. Kami kemudiannya membandingkan keputusan-keputusannya, dan merumuskan bukti dari semua kajian. Akhir sekali, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi keputusan pada kesemua kajian.
Apa yang kami temui?
Kami mendapati 40 kajian melibatkan sejumlah 5675 orang. Semua orang dalam kajian itu mendapat rawatan di unit rawatan rapi hospital. Mereka memerlukan bantuan kakitangan penjagaan kesihatan untuk menjaga kebersihan oral mereka. Kebanyakan kajian hanya melibatkan dewasa, walaupun satu kajian memfokuskan kepada kanak-kanak dan satu lagi kajian memfokusan kepada bayi baru lahir. Kajian-kajian berlangsung di berbagai negara, termasuk China (10 kajian), Brazil (6 kajian), AS (6 kajian) dan Iran (5 kajian).
Kajian-kajian membandingkan pelbagai penjagaan kebersihan oral (seperti ubat kumur, gel atau berus gigi):
• plasebo (rawatan palsu);
- penjagaan biasa; atau
- satu lagi rawatan penjagaan kesihatan oral.
Di sini kami melaporkan penemuan untuk dua perbandingan:
1) Chlorhexidine (CHX, antiseptik) dalam bentuk ubat kumur atau gel, terhadap plasebo atau rawatan biasa (13 kajian); dan
2) Menggosok gigi berbanding tidak menggosok gigi, dengan atau tanpa antiseptik (8 kajian).
CHX berbanding plasebo atau penjagaan biasa
Bukti menunjukkan berbanding plasebo atau penjagaan biasa, CHX:
- mungkin mencegah kejadian VAP dalam kalangan pesaki(13 kajian);
- mungkin memberi sedikit atau tiada kesan kepada risiko kematian (9 kajian);
- boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan tempoh inap di unit rawatan rapi (5 kajian).
Kami tidak tahu jika CHX mempengaruhi jangka masa pesakit mengguna ventilator, atau jika ia membawa kepada kesan buruk (tidak diingini). Ini kerana kami kurang yakin dengan bukti kajian-kajian:
- melaporkan keputusan yang tidak tepat atau tidak konsisten;
- dilaksana dengan cara yang mungkin menimbulkan ralat keputusan; atau
- melaporkan terlalu sedikit maklumat.
Memberus gigi berbanding tidak menggosok gigi, dengan atau tanpa antiseptik
Bukti menunjukkan berbanding dengan tidak memberus gigi, memberus gigi mungkin:
- mencegah kejadian VAP dalam kalangan pesakit (5 kajian);
- memberi sedikit atau tiada kesan kepada risiko kematian (5 kajian);
- membuat sedikit atau tiada perbezaan berapa lama orang mengguna ventilator (4 kajian).
Kami tidak tahu jika memberus gigi mempengaruhi jangka masa inap pesakit di unit rawatan rapi, atau jika ia membawa kepada peristiwa buruk. Ini kerana kami kurang yakin dengan bukti kajian-kajian:
- melaporkan keputusan yang tidak tepat atau tidak konsisten; atau
- dilaksana dengan cara yang mungkin menimbulkan ralat keputusan; atau
Apakah maksudnya?
kebersihan oral dengan CHX mungkin mencegah kejadian VAP dalam kalangan pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi. Ia mungkin ada sedikit atau tiada kesan ke atas risiko kematian pesakit, atau tempoh inap di unit rawatan rapi.
Memberus gigi mungkin mencegah VAP dalam kalangan pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi. Ia mungkin ada sedikit atau tiada kesan ke atas risiko kematian pesakit, atau berapa lama pesakit mengguna ventilator.
Kami tidak tahu jika CHX atau memberus gigi membawa kesan buruk, kerana tiada cukup bukti kukuh tentang perkara ini.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Februari 2020.
Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my