Ulasan soalan
Persoalan utama yang diutarakan oleh ulasan ini adalah tentang keberkesanan alatan ortodontik untuk menggerakkan gigi atas ke belakang dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Latar belakang
Rawatan ortodontik adalah sejenis penjagaan pergigian yang membetulkan kedudukan gigi yang senget atau terkeluar dengan cara menggerakkan gigi ke posisi lain. Apabila rawatan ortodontik dibuat dengan menggunakan pendakap, kadangkala timbul keperluan untuk menggerakkan gigi molar atas ke belakang (distal). Ini dapat dicapai dengan menggunakan pendakap khas (alatan) yang diletakkan sama ada sebelum atau pada masa yang sama dengan pendakap biasa. Alatan yang menggerakkan gigi molar atas ke belakang boleh diletakkan di dalam mulut (alatan intraoral) atau dilekatkan pada bahagian belakang kepala (alatan ekstraoral). Alatan ekstraoral yang lazim digunakan ialah alat kepala. Kelemahan utama alat kepala adalah ia perlu dipakai oleh kanak-kanak dan remaja untuk jangka masa yang panjang di siang hari. Tambahan pula, kecederaan mata yang serius telah dilaporkan semasa penggunaannya. Sebagai alternatif, beberapa alatan intraoral telah dibangunkan.Namun keberkesanan alatan tersebut belum dinilai sepenuhnya.
Ciri-ciri kajian
Ulasan terhadap kajian sedia ada ini dibuat oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane dan bukti adalah terkini sehingga Disember 2012. Di dalam ulasan ini, terdapat 10 kajian yang diterbitkan di antara 2005 hingga 2011 yang mana 354 kanak-kanak telah dipilih secara rawak untuk menerima rawatan dengan alatan ortodontik penggerakan distal dan dibandingkan dengan tiada rawatan, alat kepala atau alatan penggerakan distal yang lain. Julat umur kanak-kanak di dalam sembilan kajian adalah antara 11 hingga 15 tahun, manakala kanak-kanak dalam satu lagi kajian berumur lebih rendah iaitu antara sembilan hingga 10 tahun. Kanak-kanak lelaki dan perempuan telah menyertai kajian-kajian tersebut.
Dinyatakan bahawa kajian dibiayai oleh universiti atau yayasan penyelidikan pergigian. Para penulis tidak menilai impak sumber pembiayaan tersebut.
Keputusan utama
Apabila alatan intraoral dibandingkan dengan alat kepala, pergerakan gigi ke belakang adalah lebih banyak berbanding alat kepala.Walau bagaimanapun, penggunaan alatan intraoral juga dikaitkan dengan pergerakan gigi atas bahagian hadapan apabila dibandingkan dengan alatan ekstraoral dalam empat kajian. Ini adalah kesan tidak diingini yang tidak berlaku dengan penggunaan alat kepala.
Bahaya, kecederaan dari alatan dan ciri-ciri lain alatan yang mungkin penting kepada pesakit tidak dilaporkan di dalam kajian.
Kualiti bukti
Secara umum, bukti yang ditunjukkan berkualiti rendah.Kelemahan utama adalah berkait dengan reka bentuk kajian.
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd Boniami Yazid (Hospital Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my