Soalan ulasan
Kami mengkaji bukti keberkesanan dan bahaya intervensi untuk merawat ulser di kaki penghidap penyakit sel sabit. Ini merupakan kemaskini dari Ulasan Cochrane yang diterbitkan sebelumnya.
Latar belakang
Ulser kaki adalah komplikasi kronik bagi penghidap penyakit sel sabit. Ulser-ulser ini sukar untuk dirawat sepenuhnya dan mengambil masa selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk sembuh. Keadaan ini menggangu kualiti hidup dengan agak teruk, meningkatkan kadar ketidaupayaan, menyebabkan kehilangan waktu pekerjaan, dan membebankan sistem penjagaan kesihatan. Kami mengkaji sama ada rawatan untuk ulser di kaki pada penghidap penyakit sel sabit berkesan dan selamat.
Tarikh carian
Bukti terkini sehingga: 13 Januari 2020.
Ciri-ciri kajian
Dalam Cochrane Review yang dikemas kini ini kami telah memasukkan enam kajian rawak terkawal yang melibatkan 198 peserta dengan 250 bilangan ulser keseluruhan. Empat dari kajian terkawal secara rawak dilakukan di Jamaica dan dua di AS. Kajian ini termasuk menggunakan ubat-ubatan atau pembalutan luka yang digunakan pada ulser (ubat sapu) dan ubat-ubatan yang diberikan secara oral atau intravena (ke dalam salur darah) (ubat sistemik). Memandangkan cara perawatan kedua-dua kumpulan ini yang sangat berbeza, kami menilai kedua-dua jenis kajian ini secara berasingan. Ejen topikal atau ubat sapu yang digunakan termasuk krim Solcoseryl®, pembalut matriks peptida RGD dan antibiotik topikal. Socoseryl bertujuan bagi meningkatkan penggunaan oksigen oleh tisu kulit dan seterusnya mendorong penyembuhan luka. Antibiotik topikal juga digunakan untuk mencegah jangkitan. Matriks peptida RGD adalah gel yang mendorong pertumbuhan sel. Intervensi sistemik termasuklah menggunakan ubat seperti arginine butyrate, L-cartinine, dan isoxsuprine. Aginine butyrate, diberikan secara intravena, diandaikan boleh mempercepatkan penyembuhan luka, L-carnitine, diberikan secara oral, diandaikan dapat memperbaiki kekurangan oksigen pada tisu, dan isoxsuprine, diberikan secara oral sebagai isoxsuprine hidroklorida, diandaikan dapat melebarkan saluran darah, sehingga meningkatkan pengaliran darah ke tempat luka.
Keputusan utama
Memandangkan kualiti bukti yang sangat rendah, kami tidak pasti sama ada mana-mana intervensi farmasi yang dinilai dapat mengurangkan saiz ulser atau mengakibatkan penutupan ulser di kaki. Tiada percubaan yang melaporkan mengenai hasil lain yang mahu dinilai seperti: masa penyembuhan ulser yang sempurna; tempoh bebas ulser selepas rawatan untuk ulser kaki sel sabit; ukuran kualiti hidup; kadar amputasi; atau kesan bahaya.
Kualiti bukti
Terdapat bukti yang sangat terhad mengenai penggunaan intervensi untuk merawat ulcer di kaki penghidap penyakit sel sabit. Semua ujian klinikal secara rawak yang kami sertakan dalam tinjauan ini mempunyai risiko berat sebelah yang tidak jelas atau tinggi, menyebabkan bukti yang berkualiti rendah. Tinjauan sistematik ini menunjukkan perlunya ujian rawak berkualiti tinggi yang dirancang dengan baik untuk menilai faedah dan kemudaratan intervensi untuk meningkatkan penyembuhan ulser di kaki pada penghidap penyakit sel sabit.
Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my