Intervensi untuk menggantikan gigi yang hilang: Penambahan ketebalan tulang di dasar kaviti sinus semulajadi pada bahagian atas rahang atas (sinus maksila) untuk pengimbuhan sinus maksila bagi perletakan implan.

Soalan ulasan

Ulasan ini dibuat oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane bertujuan untuk menentukan sama ada dan bila mana perlunya untuk menambah ketebalan lapisan tulang di dasar kaviti sinus semulajadi (sinus maksila) yang terletak di bahagian atas rahang atas bagi membolehkan perletakan implan dengan jayanya yang mana gigi tiruan akan diletakkan. Juga untuk mengenalpasti teknik paling berkesan untuk melakukannya.

Latarbelakang

Kehilangan gigi boleh menyukarkan pengunyahan dan pertuturan, dan mempengaruhi paras rupa seseorang. Secara tradisi, penggantian gigi dibuat dengan gigi palsu yang longgar (dentur) atau jambatan gigi yang dilekatkan pada gigi lain.Implan pergigian menyediakan cara alternatif untuk menggantikan gigi.Implan adalah berupa skru: ia diperbuat daripada bahan seperti titanium, yang boleh bersatu dengan tulang di mana ia diletakkan (integrasi tulang) dan menyediakan dasar yang stabil untuk perlekatan gigi tiruan.Namun, perlu ada cukup ketebalan tulang untuk meletakkan implan dengan jayanya.Ketebalan tulang di bahagian belakang rahang atas kadangkala sangat nipis kerana kaviti sinus semulajadi (sinus maksila) yang terletak di atasnya. Kavitit tersebut juga kadangkala menjadi lebih besar selepas kehilangan gigi.

Apabila tulang terlalu nipis, beberapa teknik digunakan untuk menambah ketebalan lapisan tulang di dasar kaviti sinus yang dikenali secara umum sebagai prosedur 'anjakan sinus'. Kaedah-kaedah ini melibatkan penggunaan tulang yang diambil dari pesakit (tulang autogenus) atau bahan lain yang dikenali sebagai biomaterial, kombinasi kedua-dua atau juga kadangkala menggunakan klot darah sebagai dasar untuk tubuh membentuk tulang secara semulajadi

Sebagai alternatif kepada anjakan sinus, di mana perlu, implan yang pendek (dengan panjang 4 hingga 8.5mm) digunakan.

Ciri kajian

Ulasan ini tepat berdasarkan bukti sehingga 17 Januari 2014.Lapan belas kajian melibatkan 650 peserta dimasukkan.Empat dari kajian tersebut, dengan jumlah 102 peserta, membandingkan prostesis yang disokong implan menggunakan anjakan sinus dengan prostesis implan pendek (5 hingga 8.5mm) tanpa anjakan sinus. Empat belas kajian selebihnya dengan jumlah 548 peserta membandingkan pelbagai teknik anjakan sinus.

Keputusan utama

Tidak terdapat cukup bukti untuk menunjukkan bahawa teknik anjakan sinus lebih baik atau kurang baik bagi mengurangkan kegagalan prostesis pergigian (gigi tiruan) atau implan pergigian berbanding dengan penggunaan implan pendek, sehingga satu tahun selepas muatan.

Namun, terdapat bukti terhad tentang kurangnya komplikasi apabila implan pendek digunakan tanpa anjakan sinus. Komplikasi termasuklah sinusitis, jangkitan dan perdarahan, dan apabila graf tulang diambil dari pesakit, komplikasi termasuklah kecederaan saraf, masalah untuk berjalan dan jangkitan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana, sama ada prosedur anjakan sinus diguna atau tidak.Bukti daripada empat belas perbandingan pelbagai prosedur anjakan sinus adalah berdasarkan maksima dua perbandingan untuk setiap bandingan dan bukti adalah berkualiti rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal. Disunting oleh Teguh Haryo Sasongko, Universiti Sains Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information