Latar belakang
Intravena (IV) fluoropyrimidine adalah sebahagian daripada asas bagi rawatan kemoterapi untuk kanser kolorektal (CRC). Pesakit lebih suka pil asalkan ia berkesan dan selamat seperti rawatan IV, kerana ia lebih mudah untuk diambil dan lebih mudah digunakan.
Soalan ulasan
Kami membandingkan kesan kemoterapi fluoropyrimidine oral dan IV dalam pesakit dengan CRC yang dirawat dengan tujuan penyembuhan, atau dirawat dengan kemoterapi paliatif kerana kanser tidak boleh dibuang melalui pembedahan atau ia adalah metastatik (ia telah merebak dari tempat asalnya ke tempat-tempat lain di dalam badan).
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini hingga Jun 2016. Kami mengenal pasti 44 kajian rawak terkawal melibatkan 23,150 peserta yang membandingkan oral dan IV fluoropyrimidine. Semua kajian menyertakan peserta lelaki dan wanita, dan tiada kajian menyertakan individu lebih muda daripada 18 tahun.
Keputusan utama
Dalam kalangan pesakit dengan CRC yang dirawat dengan tujuan penyembuhan, kelangsungan hidup bebas penyakit (DFS) dan keseluruhan kelangsungan hidup (OS) adalah tidak berbeza di antara mereka yang menerima rawatan oral berbanding IV. Dari segi kesan-kesan sampingan yang serius, pesakit yang menerima rawatan oral dan mereka yang menerima rawatan IV mempunyai risiko cirit-birit yang sama. Pesakit yang menerima rawatan oral lebih cenderung untuk mengalami ruam tangan dan kaki tetapi kurang cenderung mempunyai bilangan sel putih yang rendah (neutropenia) berbanding pesakit yang menerima rawatan IV.
Bagi pesakit dengan CRC yang kansernya dirawat dengan kemoterapi paliatif, keseluruhannya, mereka yang menerima rawatan oral mempunyai kelangsungan hidup bebas perkembangan penyakit (PFS) yang lebih teruk berbanding mereka yang menerima rawatan IV. Penggunaan dua formulasi terapi oral (UFT atau Ftorafur, dan eniluracil dengan 5-fluorouracil (5-FU) oral) membawa kepada PFS yang lebih teruk bagi pesakit yang menerima rawatan oral berbanding IV. Penggunaan tiga formulasi terapi oral yang lain (capecitabine, S-1, dan doxifluridine) membawa kepada PFS yang sama bagi pesakit yang menerima rawatan oral berbanding IV. OS tidak berbeza di antara pesakit yang dirawat dengan oral berbanding IV fluoropyrimidine. Dari segi kesan-kesan sampingan yang serius, pesakit yang menerima rawatan oral lebih cenderung untuk mengalami cirit-birit dan ruam tangan dan kaki tetapi kurang cenderung mempunyai bilangan sel putih yang rendah berbanding mereka yang menerima rawatan IV.
Kualiti bukti
Penulis ulasan menilaikan kualiti bukti bagi hasil utama dalam ulasan ini (DFS dan PFS) sebagai sederhana; sebab utama untuk penurunan taraf kualiti melibatkan isu dengan reka bentuk kajian. Kualiti bukti bagi OS dalam pesakit yang dirawat dengan tujuan penyembuhan dan dalam pesakit yang dirawat dengan kemoterapi paliatif adalah tinggi. Kualiti bukti bagi kesan-kesan sampingan adalah antara sangat rendah ke sederhana, dan telah diturun taraf kerana isu dengan reka bentuk kajian, keputusan yang berbeza di antara kajian, atau data yang tidak mencukupi.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.