Apakah isunya?
Tujuan Kajian Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada satu dos paracetamol (acetaminophen) dapat mengurangkan kejadian sakit perineal pada wanita yang melahirkan secara vagina. Kami telah mengumpul dan menganalisa semua kajian yang relevan untuk menjawab persoalan ini (tarikh pencarian: November 2019).
Mengapa ini penting?
Kelahiran bayi semestinya merupakan masa yang sangat istimewa bagi wanita dan ahli keluarga. Kesakitan perineum kadang-kadang boleh mengganggu kesejahteraan wanita dan menyebabkan mereka menghadapi masalah dalam penjagaan bayi.
Perineum adalah kawasan berbentuk berlian di antara vagina/faraj dan dubur yang boleh menjadi lebam atau terkoyak semasa melahirkan bayi. Sebahagian wanita akan dilakukan potongan kecil di perineum (episiotomi) bagi membantu kelahiran bayi. Episiotomi dan tisu yang terkoyak semula jadi memerlukan jahitan bagi menutup bahagian yang terkoyak. Forceps atau penyedut (ventouse) mungkin juga digunakan untuk membantu proses kelahiran. Kesemua intervensi yang disebutkan tadi boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan di kawasan perineal. Mengurangkan terjadinya trauma di kawasan perineal dan sakit perineal adalah sangat penting kerana kesakitan ini akan mengurangkan kemampuan wanita untuk bergerak, menyusu, dan menjaga bayinya. Ia juga boleh menyebabkan masalah inkontinen kencing atau buang air besar dan seks yang menyakitkan. Kesakitan ini boleh berlanjutan selama berminggu-minggu, berbulan, atau kadang-kadang lebih lama lagi. Oleh itu, kawalan kesakitan yang mencukupi adalah penting.
Ulasan mengenai parasetamol ini adalah sebahagian daripada siri tinjauan melihat ubat-ubatan untuk membantu melegakan sakit perineal dalam beberapa jam pertama selepas kelahiran.
Apakah bukti yang kami temui?
Kami tidak menemui kajian baru dalam kemas kini ini, jadi kajian ini masih merangkumi 10 kajian yang melibatkan 1301 wanita. Kajiannya agak lama, bermula dari tahun 1970-an hingga awal 1990-an. Semua kajian melihat pada kelegaan dari sakit perineum yang berkaitan dengan trauma, dan tidak ada kajian di mana kesakitan yang berkaitan dengan perineum yang utuh/tiada trauma ditemui. Secara keseluruhan, semua bukti berkualiti rendah kerana metodologi yang tidak jelas dan hasil penemuan yang berbagai.
Paracetamol dapat mengurangkan jumlah wanita yang mengalami kesakitan empat jam selepas kelahiran (10 percubaan, 1279 wanita), dan lebih sedikit wanita mungkin memerlukan ubat tahan sakit tambahan bersama dengan paracetamol (lapan percubaan, 1132 wanita).
Hanya satu kajian melaporkan jumlah wanita yang mengalami loya (mahu muntah) atau mengantuk tanpa ada perbezaan yang jelas yang dapat dikenal pasti. Tidak ada kesan sampingan lain dan tidak ada kajian yang melihat kesan pada bayi.
Apakah maksudnya?
Paracetamol umumnya berkesan sebagai ubat tahan sakit dan menyebabkan sedikit kesan sampingan. Ulasan ini menunjukkan bahawa mungkin terdapat beberapa manfaat khusus dengan dos tunggal parasetamol untuk sakit perineal selepas kelahiran melalui vagina. Wanita yang menyusu harus dinasihatkan bahawa terdapat sedikit sahaja maklumat tentang kesan parasetamol pada bayi yang disusui.
Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my