Soalan ulasan
Adakah tambahan vitamin D mengurangkan aktiviti penyakit dalam pesakit sklerosis multipel (MS)?
Apakah isunya?
Beberapa kajian epidemiologi, imunologi, dan genetik telah melaporkan kaitan antara vitamin D yang rendah, yang diukur sebagai paras darah 25-hidroxyvitamin D yang rendah, dan MS sebelum dan selepas penyakit tercetus. Oleh itu pesakit MS disaring untuk kekurangan vitamin D, dan rawatan vitamin D diberi bersama terapi imunomodulatori. Samada tambahan vitamin D menambahbaik hasil klinikal relevan (kejadian berulang, kemerosotan kurang upaya) atau mengurangkan bilangan lesi yang dilihat melalui pengimejan resonans magnetik (MRI) adalah tidak jelas.
Apa yang kami lakukan?
Kami menilai manfaat dan bahaya vitamin D dalam pesakit MS. Kami masukkan kajian rawak terkawal (RCTs) dan ‘quasi’-RCTs yang membandingkan kesan-kesan tambahan vitamin D dengan plasebo, penjagaan rutin, atau dos vitamin D yang rendah.
Apakah yang kami temui?
Pencarian sistematik kami mengenalpasti 12 kajian yang melibatkan 933 pesakit MS. Penyelidikan menunjukkan vitamin D tidak mempunyai kesan ke atas kejadian ulangan, kemerosotan kurang upaya yang diukur melalui Skala Status Kurang Upaya yang Diperluaskan (EDSS), atau lesi MRI gadolinium tambahbaik T1 yang baru. Kesannya ke atas kualiti kehidupan berkaitan kesihatan dan keletihan adalah tidak jelas. Keyakinan kami di atas keputusan ini adalah sangat rendah kerana vitamin D telah dinilai hanya dalam beberapa kajian bersaiz kecil yang menjadikan kami menilainya sebagai mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi. Penambahan vitamin D dilihat selamat untuk pesakit MS yang terlibat dalam ulasan kami, tetapi data sedia ada adalah terhad.
Kesimpulan
Bagi pesakit MS, penambahan vitamin D dilihat tidak ada kesan ke atas hasil-hasil klinikal relevan atau lesi-lesi MRI baru. Penambahan vitamin D pada dos dan jangka masa rawatan yang digunakan dalam kajian yang terlibat dilihat selamat, walaupun data sedia ada adalah terhad. Tujuh kajian masih dijalankan; mereka berkemungkinan memberikan bukti selanjutnya untuk kemaskini ulasan ini di masa akan datang.
Bukti semasa
Bukti ini adalah terkini sehingga Oktober 2017.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my