Penggunaan vitamin A dan minyak ikan untuk retinitis pigmentosa

Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk menentukan sama ada vitamin A dan minyak ikan berfungsi untuk menunda kemerosotan penglihatan yang berterusan pada orang dengan keadaan mata yang diwarisi yang menyebabkan kehilangan penglihatan (retinitis pigmentosa) dan apakah rawatan ini selamat.

Mesej-mesej utama
Kami tidak pasti sama ada pemberian vitamin A atau minyak ikan, atau kedua-duanya kepada penghidap retinitis pigmentosa menunda penglihatan yang semakin teruk, kerana kepastian bukti adalah sangat rendah. Lebih banyak penyelidikan diperlukan, terutamanya maklumat mengenai sama ada vitamin A dan / atau minyak ikan dengan atau tanpa suplemen vitamin lain boleh mempengaruhi hasil klinikal.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Retinitis pigmentose adalah sekumpulan penyakit mata yang boleh diwarisi, yang menyebabkan kehilangan penglihatan secara beransur-ansur tetapi progresif. Pesakit yang mengalami gangguan mata ini mempunyai kesukaran melihat dalam keadaan bercahaya rendah, mempunyai masalah dengan penglihatan di luar sudut mata dan dalam kebanyakan kes, akan mengalami kerosakan penglihatan secara beransur-ansur. Vitamin A atau minyak ikan, atau kedua-duanya telah dikemukakan sebagai kemungkinan bermanfaat dalam membantu melambatkan perkembangan kehilangan penglihatan pada kumpulan orang ini.

Apakah hasil-hasil utama ulasan ini?
Kami menjumpai empat kajian yang dilakukan di AS dan Kanada, termasuk sejumlah 944 peserta berusia antara 4 hingga 55 tahun. Peserta diberi vitamin A atau minyak ikan, atau kedua-duanya kerana penyakit mata yang diwarisi dan diikuti selama empat tahun. Orang yang diberi vitamin A atau minyak ikan, atau keduanya, dibandingkan dengan mereka yang tidak diberi vitamin A atau minyak ikan. Peserta dalam kumpulan vitamin A dan / atau minyak ikan diberi dos vitamin A atau minyak ikan yang berlainan untuk jangka masa yang berbeza. Peserta dalam kumpulan minyak tanpa vitamin A dan / atau ikan diberi pil yang tidak termasuk vitamin A atau minyak ikan (pil plasebo); rawatan lain yang difikirkan untuk mencegah perkembangan kehilangan penglihatan seperti multivitamin dengan atau tanpa jejak vitamin A; atau tiada rawatan sama sekali.

Ulasan menunjukkan bahawa sama ada vitamin A atau minyak ikan, atau keduanya, membuat perbezaan dalam menunda perkembangan kehilangan penglihatan tidak dapat dipastikan.

Adakah ulasan ini terkini?
Pengulas mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 7 Februari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information