Angioplasti sahaja atau dengan stenting untuk stenosis arteri subclavian

Mesej utama

Kami tidak menemui sebarang kajian rawak terkawal dalam penulisan perubatan yang membandingkan keberkesanan dan keselamatan implan stent (tiub kecil yang bertindak seperti alat untuk membantu mengekalkan saluran darah dalam keadaan terbuka) dengan angioplasti (prosedur pembedahan untuk membuka sekatan saluran darah) sahaja untuk rawatan stenosis arteri subclavian (penyempitan atau penyumbatan saluran darah). Pada masa ini tiada bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada stenting lebih berkesan daripada angioplasti sahaja.

Mengapakah persoalan ini penting?

Arteri subclavian adalah dua saluran darah utama di bahagian atas dada, di bawah tulang kolar, yang berasal dari gerbang aorta. Arteri subclavian kiri membekalkan darah ke lengan kiri, dan arteri subclavian kanan membekalkan darah ke lengan kanan; beberapa cabang membekalkan darah ke kepala dan dada. Sejarah merokok, tekanan darah tinggi, tahap kolesterol 'baik' (lipoprotein berketumpatan tinggi) yang lebih rendah dan penyakit arteri periferal dikaitkan dengan peningkatan risiko stenosis arteri subclavian. Stenosis arteri subclavian sering berlaku tanpa gejala. Apabila ia berlaku, gejala adalah termasuk vertigo jangka pendek (biasanya digambarkan sebagai persekitaran yang berputar) disebabkan oleh penurunan aliran darah di bahagian belakang otak, dan masalah peredaran darah di tangan dan lengan. Rawatan endovaskular (invasif minima) untuk stenosis arteri subclavian termasuk angioplasti sahaja atau dengan stenting. Adalah tidak jelas sama ada angioplasti sahaja atau dengan stenting menawarkan manfaat paling banyak untuk orang yang mengalami penyumbatan arteri subclavian.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari penulisan perubatan untuk kajian rawak terkawal mengenai rawatan endovaskular stenosis arteri subclavian yang membandingkan angioplasti sahaja, atau dengan stent yang diimplan. Dalam kajian rawak terkawal, rawatan atau ujian yang diterima oleh orang ramai diputuskan secara rawak. Kajian-kajian ini memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan.

Apakah yang kami temui?

Kami tidak menemui sebarang kajian rawak terkawal untuk membantu menjawab soalan kami. Terdapat kekurangan bukti untuk membantu profesional penjagaan kesihatan dan orang yang mengalami stenosis arteri subclavian memutuskan sama ada stent lebih berkesan daripada angioplasti sahaja untuk merawat stenosis arteri subclavian.

Sejauh manakah ulasan sistematik ini terkini?

Ulasan Cochrane ini mengemaskini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information