Mesej utama
Kami tidak menemui bukti jelas perbezaan antara heparin dan larutan salina normal (larutan garam steril dalam air) dalam mencegah penyumbatan kateter vena sentral (oklusi), atau dalam tempoh masa kateter tidak tersumbat, atau dalam bilangan kesan sampingan seperti jangkitan, kematian, perdarahan dan lain-lain. Kajian lanjut berskala besar dengan reka bentuk lebih baik diperlukan untuk mengurangkan ketidakpastian.
Mengapakah soalan ini penting?
Kateter vena sentral adalah tiub (juga dipanggil ‘lines’) yang mesti diletak sementara ke dalam vena pesakit di mana vena mereka perlu diakses dengan kerap atas sebab perubatan. Kateter ini dimasukkan ke dalam vena besar yang menuju ke jantung. Apabila kateter tidak digunakan, sejenis cecair akan disuntik ke dalam kateter sehingga penggunaan seterusnya untuk mengelak klot darah yang boleh menyumbat kateter. Ini dipanggil penguncian kateter. Penggantian kateter menambah kos penjagaan, mungkin menangguhkan rawatan, dan menimbulkan risiko tambahan kejadian buruk berkaitan kateter kepada pesakit. Kateter boleh menyebabkan jangkitan, mengakibatkan jangkitan saluran darah. Cecair digunakan untuk penguncian kateter adalah heparin atau salina normal. Heparin, sejenis antikoagulan, diguna untuk mencegah pembekuan darah. Ia juga membantu mencegah kateter daripada tersumbat; Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan perdarahan, reaksi alahan, dan penurunan bilangan platelet dalam darah. Ini telah menimbulkan persoalan sama ada heparin lebih baik daripada salina untuk mengelakkan tersumbat, dan bagaimana keselamatan setiap kaedah.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal yang menilai sama ada penguncian kateter dengan heparin lebih berkesan dalam mengurangkan risiko penyumbatan dan jangkitan berbanding salina normal. Dan kajian rawak terkawal, rawatan diterima oleh seseorang ditentukan secara rawak dan ini memberikan bukti yang paling boleh percaya tentang kesan rawatan.
Apa yang kami temui?
Kami mendapati satu kajian baru untuk kemas kini ini. Kami sertakan sejumlah12 kajian dengan 2422 orang. Lima kajian termasuk pesakit ICU, dua kajian termasuk pesakit kanser, dan kajian selebihnya termasuk pelbagai pesakit (haemodialisis, pesakit penjagaan di rumah, dan lain-lain). Kami tidak dapat membuat kesimpulan penguncian kateter dengan heparin mencegah penyumbatan lebih baik daripada membilas dengan larutan salina normal. Kami dapati sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh masa kateter kekal tidak tersumbat atau bilangan kesan sampingan antara penggunaan heparin atau salina.
Sejauh manakah kami yakin dengan bukti ini?
Apabila membanding heparin dengan salina, kepastian bukti keputusan adalah dari sangat rendah hingga rendah akibat reka bentuk kajian dan keputusan keseluruhan termasuk kemungkinan kedua-dua manfaat dan mudarat.
Adakah bukti ini mutakhir?
Ulasan Cochrane ini mengemaskini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga 20 Oktober 2021.
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Koleh Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my