Orang yang menghidap barah sering mengalami kesan psikologi dan fizikal akibat barah dan rawatan untuknya. Mereka juga mengalami kualiti hidup yang kurang baik kerana penyakit dan rawatannya. Beberapa kajian menunjukkan bahawa senaman mungkin bermanfaat dalam mengurangkan hasil negatif dan meningkatkan kualiti hidup orang yang menghidap barah yang menjalani rawatan. Di samping itu, kualiti hidup yang lebih baik dapat meramalkan jangka hayat yang lebih lama. Ulasan ini melihat kesan senaman terhadap kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dan bidang kehidupan yang membentuk kualiti hidup (seperti keletihan, kegelisahan, kesihatan emosi) di kalangan orang yang menghidap barah yang menjalani rawatan.
Ulasan ini memasukkan 56 kajian dengan sejumlah 4826 peserta. Hasil kajian menunjukkan bahawa senaman dapat meningkatkan kualiti hidup keseluruhan setelah program senaman selesai. Senaman juga dapat meningkatkan kemampuan fizikal seseorang dan cara orang itu dapat berfungsi dalam masyarakat. Bersenam juga mengurangkan rasa letih pada waktu yang berlainan semasa dan selepas program senaman. Kesan positif dari senaman adalah lebih besar ketika senaman lebih kuat. Tidak ada kesan senaman yang dijumpai dalam cara seseorang melihat badannya, pada kemampuan seseorang untuk berfikir dengan jelas, mood seseorang, rasa sakit, dan cara orang itu melihat kesihatan rohani.
Walau bagaimanapun, penemuan ini perlu dilihat secara hati-hati kerana ulasan ini melihat pada pelbagai jenis program senaman, yang berbeza berdasarkan jenis tetapan, tempoh program, dan seberapa keras peserta kajian harus bersenam. Juga, penyelidik menggunakan beberapa cara yang berbeza untuk mengukur kualiti hidup.
Terdapat keperluan untuk lebih banyak penyelidikan untuk memahami cara mengekalkan kesan positif dari senaman dalam jangka waktu yang lebih lama setelah program senaman selesai, dan untuk menentukan bahagian mana dari program senaman yang diperlukan (iaitu ketika memulakan program, ketik latihan, lamanya program atau sesi latihan, seberapa sukar untuk bersenam). Juga penting untuk mengetahui sama ada satu jenis senaman lebih baik untuk jenis kanser tertentu daripada yang lain untuk kesan maksimum pada kualiti hidup.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my