Mesej utama
• Kami mendapati bahawa melakukan halangan aliran darah anggota badan dalam tempoh singkat dengan mengembungkan cuff tekanan darah sebelum pembedahan (pralatihan iskemik jauh, RIPC) mungkin tidak mengurangkan kematian, kecederaan organ, tempoh tinggal di hospital, atau tempoh pembedahan pada orang yang menjalani pembedahan vaskular (cth kaedah rawatan untuk membaiki penyempitan atau pembengkakan arteri).
• Kajian yang lebih besar dan direka bentuk dengan baik dengan hasil yang berpusatkan pesakit, seperti kualiti hidup, diperlukan untuk menganggarkan dengan lebih baik manfaat dan potensi bahaya RIPC untuk orang yang menjalani pembedahan vaskular.
Apakah pralatihan iskemia jauh?
Apabila populasi semakin meningkat, lebih ramai orang akan mengalami penyakit vaskular atau penyakit arteri, penyempitan disebabkan oleh pengumpulan mendapan lemak atau arteri membonjol seperti belon. Sebagai strategi rawatan penting untuk penyakit arteri yang teruk, pembedahan vaskular membuang mendapan atau membaiki bonjolan, tetapi ini membawa peningkatan risiko kematian dan komplikasi. Risiko pembedahan yang tinggi adalah terutamanya disebabkan oleh halangan dan pemulihan aliran darah seterusnya yang terlibat dalam prosedur pembedahan vaskular, juga dikenali sebagai 'kecederaan iskemia-reperfusi'. Beberapa pendekatan telah digunakan untuk mengurangkan risiko pembedahan, tetapi telah mendapat kesan yang terhad.
Sekatan sementara (beberapa minit) aliran darah ke organ boleh mengurangkan kecederaan pada organ tersebut (pralatihan iskemia tempatan) tetapi mungkin juga mengurangkan kerosakan pada organ lain (pralatihan iskemia jauh, RIPC). Secara amnya, RIPC dilakukan dengan kerap mengembung dan mengempis menggunakan cuff tekanan darah yang diletakkan di atas lengan atau kaki. Sebagai kaedah yang selamat dan mudah, kesan RIPC telah terbukti dapat mencegah kerosakan organ untuk pembedahan jantung dalam kajian haiwan.
Apa yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada RIPC berbanding tiada RIPC boleh mengurangkan kematian dan kecederaan organ pada orang yang menjalani pembedahan vaskular, dan jika ia boleh menyebabkan sebarang bahaya.
Apa yang kami buat?
Kami mencari kajian yang melihat RIPC pada orang yang menjalani pembedahan vaskular. Kami menyertakan kajian dengan reka bentuk yang rawak (di mana orang diberikan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan RIPC dengan tanpa RIPC. Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami dapati?
Kami mendapati 14 kajian melibatkan 1295 orang dari UK, Ireland, Estonia, Sepanyol, China, USA, Singapura dan New Zealand. Umur purata adalah antara 65 hingga 76 tahun. Majoriti peserta (84%) adalah lelaki. Kualiti keseluruhan kajian adalah boleh diterima.
Pada orang yang menjalani pembedahan vaskular, berbanding tanpa RIPC:
• RIPC mungkin membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian (10 kajian, 965 orang), serangan jantung (11 kajian, 1001 orang), kecederaan buah pinggang (12 kajian, 1054 orang), dan strok (4 kajian, 392 orang), dan boleh membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan dalam kehilangan anggota badan (3 kajian, 322 orang); dan
• RIPC mungkin membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan dalam penginapan di hospital (7 kajian, 569 orang) dan tempoh pembedahan (10 kajian, 803 orang).
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap penemuan kami hanya sederhana kerana kebimbangan tentang faktor berikut: pertama, bukti adalah berdasarkan beberapa kes seperti kematian dan kehilangan anggota badan, dan beberapa kajian adalah kecil; kedua, kajian menggunakan kaedah yang berbeza untuk mengesan hasil seperti kecederaan buah pinggang; dan akhirnya, untuk beberapa keputusan, seperti serangan jantung, beberapa kajian yang dijalankan di bahagian itu masih belum mendedahkan keputusan mereka kepada umum, menghalang gambaran objektif semua bukti yang ada (penerbitan berat sebelah). Keputusan penyelidikan lanjut mungkin berbeza daripada keputusan ulasan ini, yang bermaksud kesimpulan kami boleh berubah apabila lebih banyak penyelidikan dilaporkan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini Ulasan Cochrane sebelumnya. Bukti adalah terkini hingga 1 April 2022.
Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my