Terapi ozon sebagai rawatan untuk ulser kaki dalam kalangan orang dengan diabetes

Apakah itu diabetes dan ulser kaki?

Diabetes melitus (DM) adalah keadaan lazim yang menyebabkan kepekatan gula yang tinggi dalam darah . Orang yang telah lama menghidap diabetes sering menderita ulser kaki. Hampir 35% kemasukan ke hospital dari klinik diabetes adalah akibat ulser kaki, juga hampir 80% amputasi kaki tidak traumatik.

Apakah terapi ozon?

Ozon adalah gas, yang boleh digunakan sebagai rawatan untuk ulser dalam orang dengan diabetes, yang boleh diberikan melalui minyak berozon (contohnya minyak bunga matahari atau zaitun berozon), atau melalui campuran oksigen dan ozon yang diaplikasi terus kepada luka, atau melalui insuflasi rektum (ditiup ke bahagian akhir usus melalui dubur).

Tujuan ulasan ini

Ulasan ini ingin tahu sama ada terapi ozon berkesan apabila diberi bersendirian, atau sebagai sebahagian daripada pakej penjagaan, untuk merawat ulser kaki dalam kalangan orang dengan DM.

Penemuan ulasan ini

Para penulis ulasan mencari literatur perubatan sehingga 3 Mac 2015, dan mengenalpasti tiga kajian klinikal yang relevan (212 peserta) yang menyiasat terapi ozon untuk rawatan ulser kaki dalam kalangan orang dengan diabetes. Bukti sedia ada adalah berkualiti rendah.

Satu kajian, dengan 101 peserta, membandingkan rawatan ozon dengan antibiotik dan disusuli selama 20 hari. Keputusan kajian ini menunjukkan pengurangan saiz ulser adalah lebih besar, dan juga tempoh inap di hospital adalah lebih pendek, dalam kalangan mereka yang menerima rawatan ozon, tetapi tiada manfaat nyata dari segi bilangan ulser kaki yang sembuh. Tiada kesan buruk (kesan sampingan atau mudarat) dilihat dalam kedua-dua rawatan.

Dua kajian yang lain (111 peserta) membandingkan rawatan ozon ditambah penjagaan biasa dengan penjagaan biasa sahaja. Keputusan kedua-dua kajian ini menunjukkan tiada perbezaan nyata antara kumpulan untukbagi pengurangan saiz ulser, bilangan ulser kaki yang sembuh, atau kejadian peristiwa buruk dan kadar amputasi.

Kualiti hidup tidak dilaporkan oleh kajian-kajian.

Kesimpulan

Berdasarkan maklumat sedia ada yang terhad dan berkualiti buruk, para penulis ulasan tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang keberkesanan terapi ozon untuk merawat ulser kaki dalam kalangan orang dengan DM.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information