Adakah lebih baik untuk mengambil statin sebelum menjalani pembedahan berkaitan jantung?

Mesej utama

– Pengambilan statin boleh mendatangkan sedikit hingga tiada perbezaan terhadap kematian dalam tempoh 30 hari pembedahan, ritma jantung yang tidak seragam dan angin ahmar (keadaan serius yang mengancam nyawa yang terjadi apabila bekalan darah ke sebahagian otak terputus); dan mungkin mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam serangan jantung, tempoh tinggal di unit jaga rapi dan tempoh keseluruhan tinggal di hospital. Kami sangat tidak yakin tentang kesan statin terhadap kegagalan buah pinggang dan kesan memudaratkan dari rawatan statin.

– Kajian lanjut diperlukan untuk menyiasat sama ada rawatan statin boleh membantu mengurangkan kebarangkalian kematian dan isu lain berkaitan jantung (masalah kardiovaskular) dalam konteks ini.

Apakah bahaya pembedahan jantung dan bagaimanakah statin boleh membantu?

Pembedahan jantung boleh merawat secara berkesan orang dengan masalah jantung dan peredaran darah. Namun, pembedahan jantung juga meningkatkan risiko kematian, serangan jantung, angin ahmar (keadaan serius yang mengancam nyawa yang berlaku apabila bekalan darah ke sebahagian otak terputus), ritma jantung yang tidak seragam dan kegagalan buah ginjal . Ini sebahagiannya disebabkan lebih daripada separuh orang yang menjalani pembedahan jantung berumur lebih dari 70 tahun. Untuk mengurangkan risiko ini, kita harus cuba untuk meningkatkan kadar pemulihan dengan mengelakkan masalah ini daripada terjadi sebelum, semasa dan selepas pembedahan.

Statin merupakan ubat yang digunakan di seluruh dunia untuk menurunkan paras kolesterol darah (bahan lemak yang terkandung dalam darah yang boleh menyumbat saluran darah) dan mengurangkan kemungkinan isu kardiovaskular bertambah teruk. Kajian telah menunjukkan bahawa orang yang mempunyai paras kolesterol berbahaya dalam saluran darah mereka (arteri) berkurang kadar kematiannya apabila mengambil statin. Namun, faedah berpotensi pengambilan statin dalam orang yang menjalani pembedahan jantung adalah kurang jelas.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pengambilan statin sebelum menjalani pembedahan jantung boleh mengurangkan risiko:

– kematian yang berlaku sejurus selepas pembedahan; atau
– mengalami masalah jantung atau buah pinggang yang lain.

Kami juga ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang perubahan dalam kualiti rawatan berkaitan dengan pembedahan jantung untuk orang yang telah mengambil statin, seperti pengurangan tempoh tinggal di hospital atau unit jagaan rapi, atau jika terdapat sebarang kesan mudarat dari rawatan statin.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga September 2023 yang membandingkan rawatan statin dengan rawatan plasebo (ubat palsu yang mirip dari segi rupa atau rasanya dengan ubat sebenar yang diuji) serta penjagaan biasa dalam kalangan orang yang menjalani pembedahan jantung. Bertentangan dengan ulasan ini versi yang sebelumnya, kami hanya menyertakan kajian yang kami pasti telah diluluskan oleh lembaga pengulas etika.

Apa yang kami temui?

Kami menemui lapan kajian melibatkan 5592 orang dengan purata umur 63 tahun dan 79% adalah lelaki. Dari jumlah ini, 2798 orang dirawat dengan statin dan 2794 orang tidak dirawat dengan statin sebelum pembedahan jantung. Kajian yang terkecil memasukkan 57 orang dan kajian yang terbesar melibatkan 2406 orang. Semua kajian dijalankan di hospital berkait dengan universiti di Asia, Eropah dan Amerika Utara. Setiap kajian menggunakan jenis statin (atorvastatin, fluvastatin, simvastatin, pravastatin atau rosuvastatin) dan dos (antara 20 mg dan 80 mg) yang berbeza.

Keputusan utama

Dalam orang yang menjalani pembedahan jantung, berbanding tanpa rawatan statin, rawatan statin:

– mungkin mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam serangan jantung (5 kajian, 4645 orang), tempoh tinggal di unit jagaan rapi (3 kajian, 4528 orang) dan tempoh keseluruhan tinggal di hospital (5 kajian, 4788 orang);

– boleh menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan untuk kematian dalam tempoh 30 hari pembedahan (6 kajian, 5260 orang), ritma jantung tidak seragam (8 kajian, 5592 orang) dan angin ahmar (4 kajian, 5143 orang).

Kami sangat tidak yakin tentang kesan statin terhadap kejadian utama jantung mudarat (1 kajian, 2406 orang) dan kegagalan buah pinggang (4 kajian, 4728 orang).

Apakah batasan bukti?

Kami cukup yakin dengan penemuan kami bahawa mungkin terdapat sedikit hingga tiada perbezaan dalam risiko serangan jantung, tempoh tinggal di hospital dan unit jagaan rapi. Namun, kami mempunyai tahap keyakinan yang rendah hingga sangat rendah terhadap penemuan kami yang lain, penemuan terpenting yang kami cari, iaitu pengurangan kematian. Ini kerana kebanyakan kajian mempunyai banyak perbezaan antara mereka, terdapat sedikit kes perbandingan daripada yang dijangka, dan kajian tersebut tidak selalu menyediakan maklumat tentang rawatan statin atau hasil rawatan yang kami minati. Tambahan pula, semua kajian menggunakan pendekatan yang berbeza untuk rawatan statin, yang menjadikannya sukar untuk dibandingkan. Secara keseluruhan, ini mengurangkan tahap keyakinan kami terhadap bukti.

Kajian lanjut diperlukan untuk menyiasat sama ada rawatan statin boleh membantu mengurangkan kebarangkalian kematian dan isu lain berkaitan jantung (kardiovaskular) dalam konteks ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ini adalah kemas kini ulasan Cochrane. Bukti adalah terkini sehingga September 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (RCSI & Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information