Baclofen untuk sindrom sarak alkohol

Soalan ulasan

Ulasan ini cuba untuk menilai keberkesanan dan keselamatan baclofen sebagai terapi untuk sindrom sarak alkohol (AWS) dalam kalangan orang dengan alkoholisme.

Latar belakang

AWS adalah satu keadaan yang membimbangkan dan mengancam nyawa yang sering mempengaruhi orang yang bergantung kepada alkohol apabila mereka berhenti atau mengurangkan pengambilan alkohol. Ubat baclofen telah menunjukkan potensi untuk mengurangkan gejala-gejala AWS yang teruk dalam kalangan orang dengan alkoholisme. Rawatan dengan baclofen mudah untuk diurus, tanpa menghasilkan sebarang kesan sampingan yang ketara. Ini adalah versi kemaskini Ulasan Cochrane yang asal terbitan 2011 dan kemaskini mutakhir pada 2017.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian klinikal yang membandingkan baclofen dengan plasebo (ubat tiruan)atau ubat lain yang berpotensi diguna dalam kalangan orang dengan AWS. Kami memasukkan empat kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta diagihkan secara rawak ke dalam satu dari dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan 189 peserta. Satu kajian dari USA membandingkan baclofen dengan plasebo yang diberi untuk sekurang-kurangnya 72 jam. 31 peserta adalah lelaki dengan purata umur 47 tahun. Dua kajian dengan 85 peserta membandingkan baclofen kepada diazepam (ubat penenang) selama 10 hari berturut-turut, atau selama 10 hari bagi pesakit dalam dengan fleksibiliti untuk membolehkan rundingan tarikh discaj antara 10 hari dan 15 hari. Satu kajian membandingkan baclofen kepada chlordiazepoxide yang diberi selama sembilan hari, di mana semua 60 peserta adalah lelaki dengan purata usia 38 tahun. Tiada kajian melaporkan sebarang konflik kepentingan. Addolorato 2006 disokong oleh Associazione Ricerca di Medicina, Itali. Girish 2016 disokong oleh Hospital KIMS dan Pusat Penyelidikan (Bangalore, India). Jhanwar 2014 melaporkan tiada sumber pendanaan. Lyon 2011 disokong oleh Yayasan Klinik Duluth (MN, Amerika Syarikat).

Keputusan utama

Tiada kajian yang dimasukkan menilai hasil utama ulasan, iaitu sawan sarak alkohol, delirium sarak alkohol (pemikiran dan kesedaran yang keliru), dan keinginan. Kami tidak pasti sama ada baclofen dapat memperbaiki gejala dan tanda-tanda sarak, dan mengurangkan kesan sampingan berbanding plasebo atau ubat-ubatan lain kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Kualiti bukti

Kualiti bukti daripada kajian-kajian tersebut adalah sangat rendah dan keputusan harus ditafsir dengan berhati-hati. Di masa hadapan, RCT dengan reka bentuk lebih baik, buta duaan (di mana peserta mahupun penyelidik tidak tahu rawatan yang diberi sehingga selepas keputusan dikumpul) dengan bilangan besar peserta diperlukan untuk menguji keberkesanan dan penerimaan baclofen dalam kalangan orang dengan AWS.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information