Soalan ulasan
Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan rawatan dengan clomiphene citrate (CC) atau letrozole (Ltz) berbanding gonadotropin sahaja untuk rangsangan ovari semasa rawatan persenyawaan in vitro (IVF).
Latar belakang
Suntikan hormonal gonadotropin lazim diguna dalam rawatan IVF untuk merangsang ovari menghasilkan telur, yang kemudiannya boleh dicampur dengan sperma di makmal untuk membuat embrio untuk dipindahkan ke rahim. Walau bagaimanapun, suntikan ini mahal, tidak mudah, dan dikaitkan dengan kesan sampingan. Keperluan rejimen rangsangan mesra pesakit telah membawa kepada penggunaan tablet seperti clomiphene atau letrozole dan bukan suntikan, tetapi tidak jelas sama ada ini juga berkait dengan kadar kehamilan.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan 27 kajian, yang mana 22 kajian dengan sejumlah 3599 peserta mempunyai data yang sesuai untuk dianalisis. Kami mengkaji populasi umum IVF dan wanita yang mempunyai kurang telur (responden yang lemah) semasa IVF secara berasingan. Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane sebelumnya yang pertama kali diterbitkan pada 2012. Bukti adalah terkini sehingga 10 Januari 2017.
Keputusan utama
Tiada bukti jelas tentang perbezaan kelahiran hidup atau kadar kehamilan antara kumpulan dalam populasi umum IVF.Bukti berkualiti rendah menunjukkan untuk klinik biasa dengan kadar kelahiran hidup 23% (LBR) hanya menggunakan suntikan hormonal gonadotropin, beralih kepada rejimen CC atau Ltz dijangka dapat menghasilkan LBR antara 15% dan 30%.
Risiko sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS) lebih rendah dengan penggunaan CC atau Ltz berbanding dengan gonadotropin sahaja. Bukti berkualiti rendah menunjukkan untuk klinik biasa yang mempunyai 6% prevalen OHSS yang berkaitan dengan suntikan hormonal gonadotropin, beralih kepada regimen CC atau Ltz dijangka dapat menurunkan insiden antara 0.5% dan 2.5%.
Dalam kalangan responden wanita yang lemah, tiada bukti jelas mengenai perbezaan antara kumpulan dalam kadar kelahiran hidup atau kehamilan. Bukti berkualiti rendah menunjukkan untuk klinik biasa dengan 5% LBRs dalam responden lemah yang hanya menggunakan suntikan hormonal gonadotropin, beralih kepada regimen CC atau Ltz dijangka dapat menghasilkan LBR antara 2% dan 14%. Kesan sampingan ubat-ubatan dan data keabnormalan fetus menggunakan protokol CC atau Ltz tidak dilapor dengan baik.
Kualiti bukti
Kualiti bukti untuk pelbagai perbandingan adalah dari rendah ke sederhana. Limitasi utama adalah risiko bias yang berkaitan dengan laporan kaedah kajian yangkurang baik dan ketidaktepatan.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.