Sumatriptan dengan naproxen untuk serangan migrain akut dalam orang dewasa

Kesimpulannya

Kombinasi sumatriptan dengan naproxen adalah berguna untuk merawat serangan migrain dalam kajian-kajian yang kami temui. Ia tidaklah jauh lebih baik daripada menggunakan sumatriptan sahaja, tetapi ia adalah lebih baik daripada menggunakan naproxen sahaja. Serangan lebih berjaya dirawat apabila ubat diambil awal, apabila kesakitan adalah ringan.

Latar belakang

Migrain ialah keadaan yang kompleks dengan pelbagai gejala. Ia menjejaskan wanita dua ke tiga kali ganda berbanding lelaki, dan lebih kerap berlaku dalam usia 30 hingga 50 tahun. Bagi kebanyakan orang, ciri utama adalah sakit kepala yang menyakitkan. Gejala yang lain termasuk gangguan penglihatan; sensitif terhadap cahaya, bunyi, dan bau; berasa tidak sihat; dan muntah.

Kedua-dua ubat anti-keradangan bukan steroid (NSAIDs) dan ubat kelas triptan digunakan untuk merawat sakit kepala migrain. Ulasan ini menilai seberapa baik naproxen (NSAID) dan sumatriptan (triptan) berfungsi apabila digabungkan. Tablet kombinasi tersebut tidak tersedia di kebanyakan negara, tetapi tablet berasingan didapati secara meluas dan boleh diambil bersama-sama.

Ciri-ciri kajian

Pada 28 Oktober 2015, kami mencari kajian klinikal yang menggunakan sumatriptan dengan naproxen untuk merawat sakit kepala migrain dalam orang dewasa. Mereka diberi sama ada kombinasi sumatriptan dan naproxen, sumatriptan sahaja, naproxen sahaja, atau rawatan plasebo (dummy). Mereka tidak mengetahui rawatan mana yang mereka ambil, dan tidak juga petugas kesihatan yang merawat mereka.

Keputusan utama

Kami menemui 13 kajian, yang mana 12 (dengan kira-kira 9300 orang) menyediakan maklumat mengenai seberapa baik rawatan kombinasi berfungsi.

Kombinasi sumatriptan dengan naproxen adalah lebih baik daripada plasebo untuk melegakan serangan migrain akut dalam orang dewasa. Apabila sakit kepala berintensiti ringan bermula, 5 dalam 10 (50%) orang yang dirawat dengan kombinasi tersebut bebas dari kesakitan pada dua jam berbanding dengan kira-kira 2 dalam 10 (18%) dengan plasebo. Hampir 6 dalam 10 (58%) orang dengan kesakitan sederhana atau teruk yang dirawat dengan kombinasi tersebut mengalami kesakitan yang dikurangkan kepada ringan atau tiada sakit pada dua jam, berbanding dengan 3 dalam 10 (27%) dengan plasebo. Kombinasi tersebut juga adalah lebih baik daripada dos yang sama bagi salah satu ubat itu yang diberikan secara bersendirian dalam orang-orang ini. Keputusan adalah 5 dalam 10 (52%) orang dengan sumatriptan sahaja atau kira-kira 4 dalam 10 (44%) dengan naproxen sahaja.

Kombinasi tersebut adalah lebih baik daripada plasebo atau salah satu ubat itu sahaja untuk melegakan gejala-gejala migrain yang lain (loya, sensitif terhadap cahaya atau bunyi) dan kehilangan keupayaan untuk berfungsi secara normal. Kesan buruk seperti pening, kulit berdenyut atau terbakar, mengantuk (somnolens), loya, ketakcernaan (dispepsia), mulut kering, dan ketidakselesaan dada adalah lebih kerap dengan sumatriptan (bersendirian atau dalam kombinasi) berbanding dengan plasebo atau naproxen. Mereka secara umumnya adalah ringan atau sederhana dan jarang menyebabkan penarikan diri dari kajian.

Kualiti bukti

Kajian-kajian tersebut dijalankan dengan piawai yang tinggi dan secara umumnya cukup besar untuk memberikan keputusan yang boleh dipercayai, maka kebanyakan keputusan untuk keberkesanan adalah berkualiti tinggi. Keputusan untuk kesan buruk diturunkan kepada berkualiti sederhana kerana terdapat kurang kejadian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information