Soalan ulasan
Kami mengulas keberkesanan dan keselamatan klinikal lidocaine profillaksis untuk infarksi miokardium.
Latar belakang
Penyakit arteri koronari adalah masalah kesihatan awam major yang mempengaruhi kedua-dua negara maju dan membangun. Sindrom koronari akut termasuklah angina tidak stabil dan infarksi miokardium dengan atau tanpa elevasi segmen-ST (sektor elektrokardiogram lebih tinggi daripada garis dasar). Aritmia ventrikel selepas infarksi miokardium dikaitkan dengan risiko tinggi mortaliti. Bukti sudah ketinggalan zaman, dan masih banyak ketidakpastian tentang kesan penggunaan lidocaine profilaksis terhadap mortaliti semua sebab, khususnya, dalam kalangan pesakit yang disyaki infarksi miokardium.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti 37 kajian yang dijalankan antara 1969 dan 1999. Bukti adalah terkini sehingga April 2015. Kajian-kajian dijalankan di Australia, Belgium, Brazil, Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Itali, New Zealand, Ireland Utara, Norway, Poland, Sweden, Switzerland, Belanda, United Kingdom dan Amerika Syarikat dan menyertakan 11,948 peserta. Kajian-kajian dijalankan di persekitaran pra-hospital dan di hospital dan menyertakan individu dengan atau tanpa infarksi miokardium yang terbukti. Sesetengah kajian tidak membatasi keputusan kepada hanya infarksi miokardium akut. Lidocaine diberi secara intravena (bolus dan/atau infusi) dan intraotot (sahaja atau dalam kombinasi dengan dos intravena). Secara keseluruhan, kajian-kajian menyertakan saiz sampel yang kecil dan melaporkan bilangan peristiwa yang rendah. Semua kajian adalah berisiko bias tinggi. Sepuluh kajian ditaja oleh industri farmaseutikal.
Keputusan utama
Dalam kalangan pesakit yang diketahui atau disyaki dengan serangan jantung, kami dapati berbanding plasebo, lidocaine tiada intervensi atau ubat antiaritmia lain mempunyai kesan yang sangat kecil atau tiada kesan ke atas kematian, kematian jantung dan fibrilasi ventrikel.
Kualiti bukti
Keyakinan kami terhadap keputusan ulasan adalah rendah kerana dalam kajian-kajian yang disertakan berkualiti rendah (lebih anggaran manfaat and kurang anggaran mudarat) dan melibatkan bilangan peserta yang kecil, justeru ketidaktepatan keputusan.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my