Soalan Ulasan
Adakah ubat antidiabetes metformin dapat mencegah atau melambatkan perkembangan diabetes jenis 2 dan komplikasinya yang berkaitan dalam individu yang mempunyai peningkatan sederhana tahap gula dalam darah?
Latar belakang
Individu dengan peningkatan sederhana tahap gula dalam darah (sering dirujuk sebagai ‘pradiabetes’) dikatakan mempunyai peningkatan risiko untuk menghidap penyakit diabetes. Metformin merupakan ubat merendahkan gula dalam darah yang telah lama digunakan untuk merawat individu yang menghidap diabetes jenis 2. Diabetes jenis 2, juga dikenali sebagai diabetes waktu-dewasa, ialah jenis diabetes yang biasa dan ia menghalang badan daripada menggunakan insulin dengan betul (rintangan insulin). Diabetes jenis 2 boleh mendatangkan kesan-kesan buruk pada kesihatan dalam jangka panjang (komplikasi diabetes) seperti penyakit mata yang teruk atau penyakit buah pinggang atau ‘kaki kencing manis’, yang akhirnya akan menyebabkan ulser kaki.
Kami mengkaji sama ada metformin juga boleh digunakan untuk mencegah atau melambatkan diabetes jenis 2 pada individu yang mengalami peningkatan risiko. Kami mengkaji kesan metformin terhadap hasil-pesakit yang penting, seperti komplikasi diabetes, kematian daripada apa-apa sebab, kualiti kehidupan berkaitan kesihatan dan kesan sampingan ubat tersebut.
Ciri-ciri kajian
Untuk dimasukkan dalam kajian, individu perlu mempunyai tahap gula dalam darah yang lebih tinggi daripada biasa, tetapi di bawah tahap yang digunakan untuk mendiagnosis diabetes. Kami mendapati 20 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta-peserta diletakkan secara rawak dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan sejumlah 6774 peserta. Kumpulan perbandingan terdiri daripada diet dan senaman, diet intensif dan senaman atau ubat lain yang merendahkan gula dalam darah. Satu kajian mendominasi bukti (48% daripada jumlah semua peserta). Dua belas kajian telah dijalankan di China. Kami hanya memasukkan kajian dengan tempoh rawatan selama satu tahun atau lebih. Tempoh rawatan dalam kajian yang dimasukkan adalah berbeza-beza dari satu hingga lima tahun.
Bukti ini adalah terkini sehingga Mac 2019.
Keputusan-keputusan utama
Lima belas kajian membandingkan metformin terhadap diet dan senaman. Lapan kajian membandingkan metformin terhadap diet intensif dan senaman dan tiga kajian membandingkan metformin ditambah dengan diet intensif dan senaman terhadap diet intensif dan senaman sahaja. Jika dibandingkan dengan diet piawai dan senaman, metformin sedikit mengurangkan atau melambatkan perkembangan diabetes. Walau bagaimanapun, apabila dibandingkan dengan diet dan senaman intensif, metformin tidak memberikan manfaat tambahan dalam mengurangkan atau melambatkan perkembangan diabetes.
Tujuh kajian membandingkan metformin dengan ubat lain yang merendahkan glukosa: tiga kajian membandingkan metformin dengan acarbose. Tiga kajian membandingkan metformin dengan satu thiazolidinedione (seperti pioglitazone). Tidak ada kelebihan atau keburukan apabila membandingkan metformin dengan ubat-ubatan berkenaan dari segi perkembangan diabetes. Satu kajian membandingkan metformin dengan satu sulphonylurea (glimepiride). Kajian tersebut tidak melaporkan hasil yang penting bagi pesakit.
Secara umum, laporan tentang kesan sampingan yang serius adalah jarang. Beberapa peserta meninggal dunia dan kami tidak mengesan perbezaan yang jelas antara kumpulan-kumpulan intervensi dan perbandingan. Kami juga tidak mengesan kelebihan atau kelemahan metformin yang berkaitan dengan kualiti hidup berkaitan kesihatan. Kajian yang kami masukkan tidak melaporkan tentang serangan jantung yang tidak membawa maut, strok atau komplikasi diabetes seperti penyakit buah pinggang atau mata. Beberapa kajian menganggarkan kos perubatan secara langsung. Apabila dibandingkan dengan diet dan senaman, metformin adalah lebih mahal. Apabila dibandingkan dengan diet yang intensif dan senaman, metformin adalah kurang mahal.
Kami telah mengenal pasti 11 kajian yang masih berterusan yang berpotensi untuk menyediakan data untuk ulasan ini. Kajian ini akan menambah seramai 17,853 peserta dalam kemas kini akan datang untuk ulasan kami.
Kajian masa depan harus mengkaji lebih banyak hasil-pesakit yang penting seperti komplikasi diabetes dan terutamanya kesan sampingan ubat-ubatan. Kami tidak tahu sama ada 'pradiabetes' hanya satu keadaan yang ditakrifkan oleh pengukuran makmal, atau sama ada ia sebenarnya adalah faktor risiko yang sebenar untuk kencing manis. Ia juga tidak diketahui sama ada rawatan untuk keadaan ini diterjemahkan ke dalam hasil-pesakit yang lebih baik.
Kepastian bukti
Semua kajian yang telah dimasukkan mempunyai masalah dalam cara ia dijalankan atau dilaporkan.
Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah, Fakulti Perubtan UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com