Adakah sasaran rendah tekanan darah memberikan manfaat tambahan kepada orang dengan penyakit buah pinggang kronik dan tekanan darah tinggi berbanding dengan sasaran piawai?

Mesej utama

Menurunkan tekanan darah pada individu yang mempunyai tekanan darah tinggi (hipertensi) memberikan manfaat kesihatan. Tetapi kita tidak tahu berapa banyak sasaran tekanan darah harus diturunkan untuk orang dengan kedua-dua hipertensi dan penyakit buah pinggang kronik.

Berbanding dengan sasaran tekanan darah piawai, sasaran intensif (lebih rendah daripada piawai) mungkin tidak mengurangkan kematian, kejadian serius tidak diingini dan memudaratkan, atau kejadian kardiovaskular (masalah yang menjejaskan jantung dan saluran darah) pada orang dengan penyakit buah pinggang kronik. Sasaran yang lebih rendah mungkin tidak mengurangkan kematian yang berkaitan dengan masalah kardiovaskular atau memperlahankan penyakit buah pinggang yang semakin teruk.

Apakah penyakit buah pinggang kronik ?

Penyakit buah pinggang kronik adalah keadaan jangka panjang di mana buah pinggang rosak dan gagal menapis darah seperti yang sepatutnya. Penyakit buah pinggang kronik boleh menjadi lebih teruk dari masa ke semasa dan akhirnya buah pinggang boleh berhenti berfungsi sama sekali. Hipertensi (tekanan darah tinggi yang luar biasa) adalah punca kedua paling biasa penyakit buah pinggang kronik selepas diabetes.

Bagaimanakah penyakit buah pinggang kronik dirawat?

Tiada ubat untuk orang dengan tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang kronik, tetapi menurunkan tekanan darah boleh membantu melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang. Walau bagaimanapun, tahap tekanan darah optimum masih tidak jelas.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada menurunkan tekanan darah di bawah paras piawai adalah lebih baik daripada mengekalkan paras piawai tekanan darah untuk mencegah penyakit jantung, perkembangan kecederaan buah pinggang, dan kematian pada orang dengan tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang kronik.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat manfaat dan kemudaratan menurunkan tekanan darah pada orang dewasa dengan penyakit buah pinggang kronik . Tekanan darah direkodkan sebagai dua nombor, seperti 120/80. Nombor pertama adalah tekanan dalam arteri ketika jantung mengepam darah semasa setiap denyutan, dan dipanggil 'tekanan darah sistolik'. Nombor kedua ialah tekanan semasa jantung mengendur sebelum degupan seterusnya, dan dipanggil 'tekanan darah diastolik'. Bacaan 130/80 mmHg ('mmHg' ialah unit biasa pengukuran tekanan darah) dianggap sebagai sasaran rendah tekanan darah dalam konteks orang dengan penyakit buah pinggang dan tekanan darah tinggi. Kami mengumpulkan kajian yang membandingkan orang yang ditugaskan untuk menurunkan sasaran tekanan darah (130/80 mmHg atau lebih rendah) dengan mereka yang diberikan kepada tahap piawai tekanan darah (140 hingga 160/90 hingga 100 mmHg).

Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.

Ulasan ini tidak menerima dana.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui enam kajian melibatkan 7348 orang dengan penyakit buah pinggang kronik dan tekanan darah tinggi. Kajian terbesar menyertakan 4733 orang yang berkaitan dengan ulasan kami, dan yang terkecil menyertakan 840 orang. Peserta disusuli untuk tempoh antara satu hingga lapan tahun. Tiga kajian telah dijalankan di AS, satu di AS dan Kanada, satu di beberapa negara di Amerika bersama-sama dengan Sepanyol, dan satu di Amerika, Eropah, dan Asia Tenggara. Tiga kajian telah dibiayai secara awam, dua dibiayai secara persendirian, dan satu mempunyai kedua-dua dana awam dan swasta.

Kami menemui bahawa, berbanding dengan tahap piawai, sasaran tekanan darah yang lebih rendah mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan kepada jumlah orang yang:

meninggal dunia akibat sebarang sebab;
mengalami kejadian tidak diingini dan memudaratkan yang serius;
mengalami kejadian kardiovaskular, seperti strok dan serangan jantung, atau masalah dengan arteri dan vena.

Sasaran tekanan darah yang lebih rendah boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan kepada jumlah orang:

yang meninggal dunia disebabkan oleh masalah jantung;
yang penyakit buah pinggang bertambah teruk.

Apakah batasan bukti?

Batasan utama bukti adalah bahawa semua enam kajian membenarkan peserta dan doktor mengetahui kumpulan rawatan yang ditugaskan untuk setiap peserta. Selain itu, kajian memberikan maklumat yang sangat terhad mengenai kejadian tidak diingini dan memudaratkan yang serius. Semua kajian mengukur tekanan darah orang di pejabat perubatan, dan keputusan mungkin berbeza jika tekanan darah orang diukur dalam tetapan berbeza (seperti di rumah).

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 8 Ogos 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information