Soalan ulasan
Kami menilai kajian yang membandingkan dua ujian untuk saringan kanser serviks: ujian HPV (ujian papillomavirus manusia) dan ujian Pap atau dikenali sebagai smear serviks atau ujian Papanicolaou. Ia bertujuan untuk mengetahui ujian yang mana mengesan perubahan prakanser serviks dengan lebih tepat.
Latar belakang
HPV dan ujian Pap adalah ujian yang dibuat oleh doktor untuk memeriksa perkembangan kanser serviks atau perubahan prakanser kepada sel-sel serviks (dipanggil lesi) Lesi-lesi ini boleh berkembang menjadi kanser serviks dalam tempoh kira-kira 10 hingga 20 tahun. Ujian HPV memeriksa sama ada seseorang wanita yang ada jangkitan HPV boleh membawa kepada kanser serviks. Jika ujian HPV adalah positif, ia mungkin bermakna terdapat perubahan prakanser di serviks. Terdapat banyak jenis ujian HPV. Salah satunya dipanggil ujian HC2. Ujian Pap memeriksa sama ada sel-sel serviks adalah abnormal. Sel-sel serviks abnormal diuji sebagai 'gred rendah ke gred tinggi' mungkin bermakna terdapat perubahan prakanser di serviks yang boleh membawa kepada kanser serviks. Satu jenis ujian Pap adalah 'sitologi konvensional' dan satu lagi adalah 'sitologi berasaskan cecair'. Bergantung kepada ujian, jika ianya positif serviks seseorang wanita mungkin perlu diperiksa atau boleh menerima pembedahan untuk lengeluarkan lesi prakanser.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari semua kajian yang berkaitan sehingga November 2015. Empat puluh kajian membandingkan ujian HPV dengan ujian Pap terhadap 140,000 wanita di antara 20 hingga 70 tahun yang menghadiri saringan serviks rutin. Kajian-kajian ini mengkaji ujian yang boleh mengesan perubahan prakanser serviks yang dipanggil neoplasia intraepitelium serviks (CIN 2 dan CIN 3).
Kualiti bukti
Terdapat cukup kajian dan wanita di dalamnya untuk membolehkan kami membuat kesimpulan. Namun, beberapa hasil kajian-kajian tersebut adalah berbeza di antara satu sama lain. Misalnya, ujian adalah lebih tepat dalam kajian-kajian di Eropah berbanding di Asia atau Amerika Tengah atau Selatan. Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah sederhana ke tinggi.
Keputusan utama
Sesuatu ujian yang sempurna dapat menyatakan dengan betul jika seorang wanita mempunyai perubahan prakanser atau tidak. Tetapi kebanyakan ujian adalah tidak sempurna.
Ulasan ini mendapati bagi setiap 1000 wanita yang disaring, kira-kira 20 wanita akan mempunyai perubahan prakanser. Ujian HPV dapat mengenal pasti 18 daripada wanita-wanita ini (tapi akan terlepas 2 wanita). Ujian Pap akan mengenal pasti 15 wanita (tapi akan terlepas 5 wanita). Wanita yang terlepas boleh membentuk kanser serviks.
Bagi setiap 1000 wanita yang disaring, terdapat 980 wanita yang tidak akan mempunyai perubahan prakanser. Ujian HPV akan dapat mengenal pasti 881 wanita (tapi 99 wanita akan diberitahu kurang betul bahawa mereka mempunyai lesi). Ujian Pap akan mengenal pasti 885 wanita (tapi 95 tidak diberitahu dengan betul bahawa mereka mempunyai lesi). Wanita yang tidak diberitahu dengan betul bahawa mereka mempunyai lesi mungkin boleh menjalani pemeriksaan serviks atau mungkin menerima pembedahan yang tidak perlu.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my