Soalan : Apakah jenis dan bilakah kemoterapi (rawatan ubat) harus diberikan kepada penghidap karsinoma timus atau timoma lanjutan?
Latar belakang: Kanser timus adalah tumor yang jarang timbul di dalam kelenjar timus di belakang tulang dada di rongga dada. Bagi orang yang mempunyai tumor timus peringkat lanjutan, pembedahan pembuangan yang lengkap biasanya tidak boleh dilakukan dan satu-satunya pilihan rawatan adalah gabungan kemoterapi. Ulasan ini bertujuan untuk menilai peranan kemoterapi pada orang yang mempunyai tumor timus yang teruk.
Penemuan utama : Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian klinikal yang sesuai untuk dimasukkan dalam ulasan ini daripada carian kami (sehingga Julai 2012). Kami telah melaporkan butiran kajian prospektif yang tidak sesuai untuk dimasukkan dalam ulasan, yang memberikan beberapa bukti berguna tentang amalan klinikal semasa.
Kualiti bukti: Walaupun pelbagai pilihan rawatan digunakan, kemoterapi berasaskan cisplatin kini merupakan regimen pilihan biasa, namun ini tidak disokong oleh kajian berkualiti baik.
Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my