Intervensi untuk talipes equinovarus kongenital (kaki bengkok)

Soalan ulasan

Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai rawatan untuk talipes equinovarus kongenital (kaki bengkok).

Latar belakang

Kaki bengkok adalah keadaan, di mana kaki berada dalam kedudukan terbelok ke dalam semasa lahir. Tidak ada sebab yang diketahui. Rawatan yang berbeza mungkin berkesan pada peringkat yang berbeza: semasa kelahiran (perkembangan awal); apabila rawatan awal tidak berfungsi (perkembangan rintang); apabila rawatan awal berjaya tetapi kaki bengkok kembali (perkembangan kambuh / berulang); dan ketika belum ada rawatan awal (perkembangan yang diabaikan). Rawatan bertujuan untuk membetulkan kaki kembali ke posisi normal dan bebas rasa sakit sepanjang hayat.

Rawatan boleh dilakukan bukan pembedahan, pembedahan atau kedua-duanya. Rawatan bukan pembedahan (contohnya, acuan atau peregangan) meregangkan kaki dengan lembut ke posisi normal. Pembedahan mungkin melibatkan otot, tendon, ligamen atau sendi. Kedua-duanya teknik Kite dan Ponseti melibatkan manipulasi sendi yang berpanjangan dan acuan bersiri untuk membetulkan penjajaran kaki. Teknik Ponseti melibatkan manipulasi (sendi pergelangan kaki) dan biasanya pembedahan tendon Achilles, sementara Kite adalah teknik yang melibatkan manipulasi kaki.

Ciri-ciri kajian

Dari carian kami, kami menemui 21 kajian dengan 905 peserta. Semua kajian mempunyai masalah kaedah atau pelaksanaan yang mungkin mempengaruhi hasilnya. Rawatan dikaji semasa kelahiran (14 kajian, 560 peserta), semasa kambuh (empat kajian, 181 peserta), atau pada waktu yang tidak diketahui (tiga kajian, 153 peserta). Kami memerlukan kajian untuk menggunakan langkah-langkah 'disahkan' (iaitu terbukti boleh dipercayai, konsisten, dan peka terhadap perubahan). Banyak kajian tidak mengambil kira kes dua hala (kanak-kanak dengan dua kaki yang terjejas) semasa perawakan dan analisis statistik. Disebabkan ini, kami tidak dapat memasukkan banyak data dari kajian dalam ulasan.

Keputusan dan kepastian bukti

Langkah utama kejayaan rawatan kami adalah fungsi (seberapa baik kaki berfungsi dalam kehidupan seharian). Dua kajian melaporkan fungsi tetapi data tidak tersedia untuk dianalisis semula.

Tiga kajian yang membandingkan Ponseti dengan teknik acuan lain pada kanak-kanak yang dirawat semasa kelahiran memberikan data yang dapat kita analisis pada penjajaran kaki. Satu kajian mendapati bahawa kedudukan kaki mungkin lebih baik dalam acuan plaster Ponseti daripada acuan plaster Kite. Dalam kajian kedua, bukti tidak dapat dipastikan sama ada kedudukan kaki lebih baik selepas acuan plaster Ponseti berbanding dengan teknik tradisional (jenis acuan plaster lain). Satu kajian mendapati bahawa acuan Ponseti mingguan mungkin sebaik acuan plaster Ponseti tiga kali seminggu (Ponseti dipercepat). Kajian ini tidak menyatakan pada tahap mana rawatan itu dilakukan. Kajian ketiga mendapati bahawa teknik Ponseti mungkin mempunyai hasil yang sama ketika menggunakan plaster of Paris atau gentian kaca separa tegar.

Tidak ada kajian yang menilai kualiti berjalan menggunakan penilaian yang disahkan. Dua kajian melaporkan hasil utama fungsi menggunakan skala yang disahkan, tetapi data mentah tidak tersedia untuk analisis dan kajian tersebut tidak memberikan data kualiti hidup yang sesuai untuk dilaporkan dalam ulasan.

Kami tidak menemui sebarang kajian berkenaan kaki bengkok kambuh atau diabaikan.

Kajian di mana jenis persembahan tidak dilaporkan mendapati bahawa mungkin tidak ada perbezaan penting antara rawatan Ponseti dipercepat atau Ponseti standard dalam penjajaran kaki.

Kambuh mengikuti teknik kite lebih kerap memerlukan pembedahan besar daripada kambuh mengikuti teknik Ponseti. Data tidak tersedia untuk menilai hasil penambahan toksin botulinum A, yang sementara melemahkan otot yang disuntikkan, untuk rawatan Ponseti, menggunakan pelbagai jenis pelapis plaster dalam rawatan Ponseti, pembedahan kaki yang berlainan, atau rawatan kaki bengkok yang kambuh atau diabaikan. Sebilangan besar kajian tidak melaporkan kesan berbahaya. Apabila dilaporkan, kesan berbahaya semasa acuan plaster termasuk tergelincir pada acuan, luka plaster, dan kerengsaan kulit. Kesan berbahaya dari jangkitan dan cantuman kulit dilaporkan selepas pembedahan.

Pencarian untuk ulasan terkini sehingga Mei 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn).Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information