Apakah manfaat dan risiko rawatan tulang tumit yang patah dengan atau tanpa pembedahan?

Mesej utama

• Pada individu yang mengalami patah tulang tumit, pembedahan boleh meningkatkan penggunaan kaki dan buku lali bagi mereka sehingga dua tahun selepas kecederaan berbanding dengan rawatan bukan pembedahan.

• Pembedahan juga boleh mengurangkan bilangan individu yang mengalami kesakitan sehingga dua tahun selepas kecederaan, dan mungkin meningkatkan sedikit kualiti hidup mereka.

• Bukti ini datang daripada hanya beberapa kajian kecil yang tidak sentiasa dijalankan dengan baik, ianya bermakna kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap dapatan ini.

• Lebih banyak kajian yang dijalankan dengan baik diperlukan bagi meningkatkan keyakinan kita terhadap bukti ini. Kajian-kajian masa depan seharusnya menggunakan alat-alat yang direka khas untuk mengukur hasil daripada patah tulang tumit. Mereka juga boleh menguji pendekatan pembedahan yang lebih baharu yang tidak termasuk dalam ulasan ini. Kadang-kadang dipanggil 'invasif minimum', kaedah-kaedah baharu ini membataskan bilangan pemotongan atau insisi yang diperlukan oleh pakar bedah. Ini boleh menyebabkan kurangnya komplikasi selepas pembedahan dan hasil jangka panjang yang lebih baik bagi pesakit berbanding dengan jenis pembedahan lain yang termasuk dalam ulasan ini.

Tulang tumit yang patah

“Calcaneus” ialah tulang di tumit kaki yang membantu menyokong kaki semasa berjalan secara normal. Kebiasaannya, patah tulang tumit berlaku selepas jatuh dari ketinggian atau dalam kejadian berimpak tinggi seperti kemalangan kereta, dan lebih biasa berlaku dalam kalangan golongan orang dewasa muda. Ini adalah merupakan kecederaan yang menyakitkan, dan individu mungkin tidak dapat menanggung beban (meletakkan seluruh berat badan pada kaki yang tercedera) selama beberapa minggu selepas kecederaan. Ini berkemungkinan akan mengehadkan aktiviti fizikal dan boleh menyebabkan kelewatan individu untuk kembali kepada aktiviti normal (seperti bekerja).

Rawatan untuk tulang tumit yang patah termasuk:

• Pembedahan menggunakan plat logam, skru, atau dawai untuk menahan bahagian tulang yang patah pada tempatnya semasa proses penyembuhan;

• Rawatan bukan pembedahan dengan individu diminta untuk berehat, meninggikan kaki mereka, dan menggunakan ais untuk mengurangkan bengkak akibat kecederaan. Individu juga mungkin memakai acuan plaster, acuan yang boleh ditanggalkan atau penganduh, atau balutan yang ketat.

Untuk kedua-dua rawatan, berkemungkinan individu akan diminta untuk tidak menanggung beban sekurang-kurangnya selama enam minggu.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada pembedahan atau rawatan bukan pembedahan memberikan hasil yang lebih baik untuk tulang tumit yang patah.

Kami ingin mengetahui sama ada rawatan ini meningkatkan fungsi (contohnya, sejauh mana individu dapat menggunakan buku lali dan kaki mereka), kesakitan, kualiti hidup, dan keupayaan untuk kembali kepada aktiviti normal (seperti bekerja). Kami berminat akan impak jangka panjang terhadap kehidupan individu sehingga lebih kurang dua tahun selepas kecederaan. Kami juga berminat dengan fungsi dalam tempoh tiga bulan pertama selepas kecederaan.

Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan mempengaruhi bilangan komplikasi dan apa-apa kesan sampingan pembedahan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan pembedahan dengan rawatan bukan pembedahan pada individu yang berumur sekurang-kurangnya 14 tahun. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami telah menjumpai 12 kajian yang melibatkan 1097 individu dengan tulang tumit yang patah. Purata umur peserta kajian adalah antara 28 hingga 52 tahun, dan 86% daripada peserta adalah lelaki, yang agak biasa untuk tulang tumit yang patah.

Kami mendapati bahawa jika berbanding dengan rawatan bukan pembedahan, pembedahan mungkin meningkatkan fungsi dalam tempoh dua tahun pertama, walaupun kami tidak pasti sama ada peningkatan ini cukup besar untuk membuat perbezaan yang penting terhadap individu. Tiada kajian yang melaporkan fungsi dalam tiga bulan pertama selepas kecederaan.

Pembedahan juga dapat mengurangkan bilangan individu yang mengalami kesakitan dan mungkin memberikan peningkatan kebaikan yang kecil tetapi bermakna kepada kualiti hidup individu sehingga dua tahun selepas kecederaan. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara rawatan dalam bilangan individu yang dapat kembali kepada aktiviti normal mereka.

Dalam satu kajian kecil, seorang individu yang dirawat dengan pembedahan perlu menjalani amputasi (membuang kaki dari lutut ke bawah), tanpa amputasi dalam kumpulan yang mendapat rawatan bukan pembedahan; tiada kajian lain yang melaporkan hasil ini. Mungkin tiada perbezaan antara pilihan rawatan dalam bilangan individu yang memerlukan pembedahan lanjutan untuk menyambung sendi di sekitar tulang tumit.

Bagi mereka yang dirawat dengan pembedahan, 14% mengalami jangkitan luka yang dapat dirawat dengan antibiotik.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti sedia ada kerana individu dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima, yang boleh menyebabkan bias. Selain itu, dalam beberapa kajian, individu tidak ditempatkan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza, bermakna perbezaan antara kumpulan boleh disebabkan oleh perbezaan antara individu bukannya rawatan. Tambahan pula, kebanyakan kajian hanya melibatkan sebilangan kecil orang.

Sejauh manakah bukti ini adalah terkini?

Ini adalah kemaskini ulasan terdahulu. Bukti terkini adalah setakat November 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Abdul Rauf Badrul Hisham (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information