Mesej utama
- Pembedahan hirisan tunggal berkemungkinan sama dengan pembedahan pertengahan uretra dalam menyembuhkan masalah kencing tidak terkawal dan mungkin dapat dikaitkan dengan kesakitan yang kurang.
- Kami kurang pasti tentang perbezaan antara pembedahan hirisan tunggal dan pembedahan lain.
- Sebahagian besar bukti semasa adalah terhad kepada 2 tahun susulan. Kami memerlukan lebih banyak keputusan jangka panjang untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan pembedahan hirisan tunggal berbanding dengan rawatan pembedahan lain.
Apakah inkontinen kencing (kencing tidak terkawal)?
Inkontinen kencing adalah apabila seseorang itu air kencingnya terkeluar secara tidak sengaja. Ia menjejaskan setinggi separuh daripada wanita sepanjang hayat mereka. Inkontinen kencing tekanan ialah kebocoran air kencing yang berlaku semasa batuk, bersin, atau bersenam. Ia adalah disebabkan oleh kelemahan pada otot lantai pelvis yang menyokong uretra (tiub saliran air kencing dari pundi kencing).
Bagaimana inkontinen kencing dirawat?
Ia dirawat terlebih dahulu dengan senaman untuk menguatkan otot lantai pelvis. Sekitar 1 dalam 10 wanita berkemungkinan memerlukan pembedahan.
Semua pembedahan untuk inkontinen kencing bertujuan untuk menyokong leher pundi kencing dan uretra. Pilihan pembedahan berbeza-beza dari segi betapa invasifnya pembedahan tersebut, kemungkinan komplikasi dan masa pemulihan. Pembedahan yang paling biasa dilakukan pada hari ini menggunakan 'anduh' yang membantu memastikan uretra tertutup apabila terdapat tekanan pundi kencing secara tiba-tiba. Anduh boleh dikelompokkan dalam tiga kategori:
- autologous
anduh
: diperbuat daripada tisu badan pesakit sendiri (fascia);
- anduh pertengahan uretra standard
: diperbuat daripada jalur pita jejaring polipropilena (plastik) yang agak panjang yang berlabuh pada tisu sekeliling. Dua jenis yang biasa digunakan ialah '
anduh retropubic
' dan '
anduh
transobturator
'. Perbezaan utama adalah dalam cara pakar bedah meletakkan posisi pita.
-
'
anduh hirisan tunggal
': diperbuat daripada jalur pita jejaring yang agak pendek, diletakkan melalui potongan tunggal di dalam faraj.
Untuk semua anduh jaring polipropilena, sebaik sahaja anduh sudah berada dalam kedudukan, tisu penghubung akan tumbuh melalui lubang - lubang dalam jaringan untuk menambat anduh pada kedudukannya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jaringan - jaringan anduh telah mendapat perhatian umum dan terdapat beberapa yang telah ditarik balik daripada pasaran.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui bagaimana anduh hirisan tunggal dibandingkan dengan pembedahan lain untuk inkontinen kencing. Kami berminat dengan keberkesanannya terhadap:
- menyembuhkan atau menambah baik inkontinen kencing;
- risiko kesakitan dan seks yang menyakitkan;
- risiko hakisan jaringan (pendedahan atau penonjolan pita ke dalam faraj);
- pengekalan air kencing;
- risiko kecederaan dan jangkitan;
- keperluan untuk pembedahan lanjut;
- kualiti hidup.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian - kajian yang membandingkan anduh hirisan tunggal kepada:
- jenis anduh lain;
- jenis pembedahan lain;
- rawatan konservatif (cth. senaman lantai pelvis) atau tiada rawatan.
Kami membanding dan meringkaskan keputusan kajian - kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor - faktor seperti kaedah dan saiz - saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 62 kajian-kajian dengan 8051 wanita, yang membandingkan antara pembedahan anduh hirisan tunggal dengan pembedahan anduh yang lain. Wanita-wanita itu yang berbeza dari segi umur, berat dan bilangan anak yang pernah dilahirkan.
Sepuluh kajian menerima pembiayaan daripada industri atau pengeluar peranti. Daripada jumlah ini, 4 membuat kenyataan yang jelas bahawa penaja industri tidak terlibat dalam reka bentuk kajian, perlakuan atau penulisan. Baki 6 kajian memberikan butiran yang sedikit atau tidak jelas.
Keputusan utama
Satu kajian membandingkan hirisan tunggal dengan anduh autologus dan mendapati terdapat sedikit perbezaan antara 2 pembedahan untuk komplikasi seks yang menyakitkan dan pendedahan/hakisan jaringan. Kajian itu tidak melaporkan hasil lain.
Hirisan tunggal berbanding dengan anduh retropubik: 10 kajian
- Terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara prosedur - prosedur ini untuk penyembuhan yang dilaporkan oleh pesakit atau penambahbaikan inkontinen kencing.
- Anduh hirisan tunggal boleh menyebabkan lebih banyak hakisan jaringan berbanding anduh retropubik, tetapi buktinya tidak pasti.
- Kami tidak tahu sama ada anduh hirisan tunggal mempunyai sebarang kesan ke atas risiko pengekalan kencing, keperluan untuk pembedahan lanjut atau kualiti hidup berbanding anduh retropubik.
- Tiada maklumat tentang kesakitan jangka panjang atau seks yang menyakitkan.
Hirisan tunggal berbanding dengan anduh transobturator: 51 kajian
- Wanita yang mempunyai anduh hirisan tunggal mempunyai kemungkinan yang sama mengalami penyembuhan inkontinen atau bertambah baik pada bulan ke - 12 seperti mereka yang mempunyai anduh transobturator.
- Wanita dengan anduh hirisan tunggal berkemungkinan mempunyai: (a) bilangan hakisan jaringan yang sama dan (b) risiko pengekalan kencing yang sama, tetapi (c) melaporkan kesakitan yang kurang.
- Kami tidak pasti sama ada anduh hirisan tunggal menjejaskan risiko seks yang menyakitkan.
- Wanita mungkin mempunyai kualiti hidup yang lebih rendah sedikit pada bulan ke - 12 berbanding wanita dengan anduh transobturator.
- Tidak jelas sama ada anduh - anduh berlainan mempunyai perbezaan dalam risiko untuk memerlukan pembedahan lanjut nanti.
Apakah batasan bukti?
Secara keseluruhannya, kami tidak dapat memastikan keputusan yang membandingkan anduh hirisan tunggal dengan anduh autologous atau anduh retropubik kerana kajian - kajian adalah kecil dan berbeza dari segi yang penting. Kami lebih yakin dengan jumlah bukti yang banyak yang membandingkan hirisan tunggal dengan anduh transobturator; bukti ini mempunyai kemungkinan yang lebih rendah untuk berubah dengan penerbitan lebih banyak percubaan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga September 2022.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Azra Baharin (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM).