Adakah suntikan etanol melalui kulit berfaedah untuk memusnahkan kanser yang merebak ke hati?
Soalan ulasan
Apakah kesan menggunakan suntikan etanol melalui kulit (PEI) untuk memusnahkan kanser metastasis dalam hati? Metastasis adalah penempatan kanser baru yang dijumpai di bahagian badan selain daripada tapak asal kanser. Kami sedang mencari sebarang kajian rawak (kajian di mana pesakit diperuntukkan kepada kumpulan secara rawak) untuk menilai kesan PEI antara pesakit yang mengalami metastasis hati daripada kanser pelbagai lokasi berbanding dengan tanpa PEI dengan atau tanpa intervensi gabungan. Kami telah melihat keberkesanan PEI terhadap risiko kematian, perkembangan penyakit, kualiti yang berkaitan dengan kesihatan, dan kesan buruk (kesan yang tidak diingini disebabkan oleh intervensi).
Latar Belakang
Apabila kanser merebak di dalam badan (metastasis), salah satu tempat yang paling kerap dihinggapi sel metastasis kanser adalah hati. Selain daripada kanser hati (kanser hati primer), kanser usus (colorectal) adalah antara kanser yang kerap menyebabkan metastasis ke bahagian hati. Lebih daripada setengah pesakit yang menghidapi kanser yang sudah merebak ke hati telah meninggal dunia akibat komplikasi. Metastasis dalam hati boleh dimusnahkan melalui beberapa kaedah yang berbeza, salah satunya adalah melalui PEI. Prosedur ini dilakukan di bawah ultrasound atau pengiraan tomografi berpandu; jarum khas ditempatkan di tapak kanser dan ia digunakan untuk menyuntik alkohol dengan matlamat membunuh tisu-tisu kanser. Ultrasound dan pengiraan tomografi adalah prosedur pengimejan. Alkohol mendorong tumor dimusnahkan melalui pengeluaran air daripada sel tumor (dehidratkan mereka), dengan itu mengubah (denaturing) struktur selular protein.
Keputusan carian dan ciri-ciri kajian
Kali terakhir kami mencari bukti adalah pada 10 September 2019. Kami menyertakan hanya satu kajian rawak yang membandingkan suntikan etanol intratumor melalui kulit dengan kombinasi transkateter arteri kemoembolisasi (TACE; rawatan yang diarah hati di mana kemoterapi ditadbir melalui kateter secara langsung kepada saluran darah yang membekalkan tumor) dengan TACE sahaja. Empat puluh lapan pesakit yang mengalami metastasis hati telah dilibatkan; 25 menerima PEI dengan TACE, dan 23 menerima TACE sahaja. Tumor utama adalah kanser di kolon, perut, pankreas, paru-paru, payudara, dan ovari.
Kajian yang dilibatkan tidak memberi maklumat mengenai pembiayaan atau konflik kepentingan.
Keputusan utama
Keputusan dari satu kajian klinikal rawak yang kecil tidak menunjukkan kesan yang berfaedah atau yang bahaya apabila pesakit yang mengalami metastasis hati disuntik etanol intratumor melalui kulit yang ditambah TACE, berkaitan dengan kematian atau pengulangan setempat berbanding rawatan dengan TACE sahaja. Peserta diikuti antara 10 sehingga 43 bulan. Nekrosis tumor adalah lebih besar dalam kumpulan rawatan gabungan. Penulis kajian telah melaporkan beberapa kesan buruk tetapi tidak memberi butiran lanjut. Kami tidak mendapati data mengenai masa untuk kematian, kegagalan untuk membersihkan metastasis hati, pertumbuhan semula metastasis hati, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, atau masa untuk perkembangan metastasis hati.
Kualiti bukti
Kami mengadili bukti sebagai kepastian sangat rendah kerana kajian yang dikenal pasti adalah berisiko tinggi untuk berat sebelah, mempunyai saiz sampel yang agak kecil, memberi kurang penjelasan keseluruhan, dan melaporkan keputusan yang tidak muktamad.
Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my