Suntikan faktor pertumbuhan endothelial anti-vaskular untuk retinopati diabetes lanjutan

Soalan ulasan
Adakah suntikan faktor pertumbuhan endothelial anti-vaskular (anti-VEGF) sama ada dengan atau tanpa rawatan laser membantu penghidap retinopati diabetes lanjutan dari segi penglihatan dan perkembangan penyakit? Adakah rawatan ini selamat?

Mesej utama

· Anti-VEGF (digabungkan dengan atau tanpa laser) meningkatkan penglihatan, tetapi tahap peningkatan tidak bermakna secara klinikal. Mereka juga mengurangkan pembentukan saluran baru, pendarahan, dan keperluan untuk mengeluarkan vitreous dengan pembedahan (vitrektomi).

· Keselamatan anti-VEGF (digabungkan dengan atau tanpa laser) kekal tidak pasti kerana kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti yang kami temui.

· Lebih banyak kajian klinikal berkualiti tinggi diperlukan untuk menetapkan dos rawatan yang sesuai dan masa pemberian anti-VEGF.

Latar belakang
Retinopati diabetik proliferatif (PDR) adalah nama perubatan untuk kerosakan lanjutan pada retina. PDR terdiri daripada kehadiran saluran baru dalam retina dan pendarahan vitreous atau pra-retinal (kebocoran darah di dalam dan di sekeliling gel yang memenuhi ruang antara kanta kristal dan retina), dan boleh menyebabkan buta. Panretinal photocoagulation (PRP) menggunakan laser adalah rawatan semasa. Walau bagaimanapun, ia mempunyai kesan sekunder seperti kehilangan penglihatan. Anti-VEGF menghalang pembentukan salur darah baru. Kami ingin mengetahui sama ada anti-VEGF, sama ada digabungkan dengan rawatan lain atau bersendirian, selamat dan lebih baik daripada alternatif standard untuk menambahbaikan PDR.

Apa yang kami buat?

Kami mencari ujian terkawal rawak (RCT) yang membandingkan anti-VEGF (digabungkan atau tidak dengan laser) dengan rawatan aktif lain, rawatan palsu atau tiada rawatan untuk penghidap PDR. Kami juga sertakan kajian yang menilai gabungan anti-VEGF dengan rawatan lain. Kami mengecualikan kajian pada orang yang menjalani vitrektomi atau rawatan untuk mengeluarkan sebahagian atau semua gel yang mengisi ruang antara kanta dan retina.

Apakah yang telah kami dapati?
Kami mendapati 23 kajian yang berlaku di Amerika Utara dan Selatan, Eropah, Timur Tengah dan Asia. Secara purata, peserta kajian dikaji selama lapan bulan, tetapi satu kajian mengikuti peserta selama dua tahun. Secara keseluruhan, kami memasukkan 2334 mata daripada 1755 peserta; 55% adalah lelaki, dan umur purata ialah 56 tahun. Kira-kira separuh daripada kajian tidak mengisytiharkan sumber pembiayaan mereka dan kira-kira separuh daripada pengarang kajian tidak melaporkan sama ada mempunyai sebarang konflik kepentingan atau tidak.

Keputusan utama
Secara purata, orang yang dirawat dengan anti-VEGF dengan atau tanpa laser mungkin mempunyai penglihatan yang lebih baik daripada orang yang tidak dirawat dengan anti-VEGF (tetapi tahap peningkatan adalah kecil dan mungkin tidak ketara), dan salur darah baru menjadi lebih kecil. Mereka juga kurang berkemungkinan mengalami pendarahan dalam mata dan berkemungkinan kurang memerlukan vitrektomi. Hanya dua kajian melaporkan tentang kualiti hidup, tetapi kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti. Kesan-kesan sampingan adalah luar biasa dan tidak terdapat data yang mencukupi untuk mengesan perbezaan keselamatan antara kedua-dua kumpulan.

Apakah batasan bukti?

Sesetengah kajian mempunyai kelemahan dalam reka bentuk/pelaksanaan mereka dan keputusannya mungkin berat sebelah; di samping itu, mereka tidak memasukkan banyak peserta. Ini menyebabkan kami hanya mempunyai keyakinan yang sedikit hingga sederhana terhadap penemuan utama, dan sangat sedikit keyakinan terhadap bukti tentang kesan sampingan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu kami yang diterbitkan pada 2014. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information